Monday, November 9, 2009

"Satu Malaysia" dan Hakikat Bahasa Kebangsaan

Pendahuluan
Sudah menjadi kelaziman bahawa setiap orang Perdana Menteri yang menaiki puncak kekuasaan akan mengeluarkan satu gagasan yang baru untuk dijadikan panduan atau hala tuju kepada rakyat. Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan ‘Wawasan 2020’, Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi dengan slogan ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ dan ‘Islam Hadhari’, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 pula telah mewujudkan gagasan ‘Satu Malaysia’ sebaik-baik sahaja beliau memegang teraju kepimpinan negara. Dalam ucapannya beliau menyebut:

“Konsep ‘Satu Malaysia’ perlu dibina berasaskan kerangka Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak kuasa Persekutuan dan kuasa negeri, memelihara kedaulatan Raja-raja Melayu, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara, keistimewaan hak orang Melayu terpelihara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan.”

Sejak Perdana Menteri mengemukakan gagasan ‘Satu Malaysia’, banyak pentafsiran dan ulasan tentangnya telah dibuat. Antaranya, semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersama. Sekiranya setiap rakyat Malaysia menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dari pelbagai tradisi, maka gagasan “Satu Malaysia” untuk menyatukan rakyat negara ini perlu mengambil kira pengertian perpaduan dalam konsepnya yang sebenar.

Dato’ Seri Najib, seperti yang dilaporkan oleh media, sengaja tidak memberikan penjelasan secara terperinci tentang gagasan tersebut dengan tujuan untuk menyuburkan perbincangan awam dalam kalangan rakyat. Beliau sebenarnya berhasrat untuk memberikan ruang kepada rakyat agar mengemukakan pandangan masing-masing.

Apabila berbicara tentang gagasan “Satu Malaysia”, intipatinya tentu sekali berhubung kait dengan perpaduan, keharmonian dan perkongsian hidup seluruh rakyat Malaysia. Perpaduan antara pelbagai suku kaum dan bangsa di Malaysia menjadi teras keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara. Setiap warga Malaysia perlu menanamkan rasa cinta dan kasih terhadap negara ini, di samping bersedia berkongsi nikmat serta kejayaan yang telah dan bakal ditempa. Hal ini dikatakan demikian kerana di bumi inilah segala yang pahit, manis, suka dan duka dikongsi bersama.

Berbicara tentang gagasan “Satu Malaysia”, kita juga mesti memperkatakan satu lagi frasa yang relevan dengan gagasan tersebut, iaitu “Satu Bahasa”. Dalam kepelbagaian suku bangsa, budaya dan agama yang terdapat di Malaysia, bahasa merupakan satu-satunya wadah penyatu yang dapat merapatkan kepelbagaian dan segala perbezaan yang wujud. Bahasa dalam konteks perbincangan ini sudah tentulah bahasa rasmi negara, iaitu bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Kedudukan Bahasa Melayu
Seperti yang sentiasa diulang-ulang, peranan dan keupayaan bahasa Melayu merentas dan memenuhi cabaran zaman memang tidak boleh dipertikaikan. Keupayaaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, bahasa penyatu, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah terbukti sejak kemerdekaan Malaysia tahun 1957. Bahasa Melayu sering kali diuji oleh pelbagai pihak, yang akhirnya menuntut perjuangan daripada setiap pencinta untuk berganding bahu bagi mempertahankannya. Maka tidak syak lagi bahawa gagasan “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri mestilah menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada teras utamanya. Gagasan “Satu Malaysia” yang menghasratkan interaksi yang baik dan berkesan dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak boleh tidak meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara kaum di Malaysia dan bahasa komunikasi antara rakyat Malaysia dengan rakyat dari luar negara yang tinggal di Malaysia.

Bahasa Melayu juga terbukti berjaya menjadi alat penyatuan setiap kaum, bangsa dan wilayah di Malaysia. Komponen penyatuan ini amat penting dalam gagasan “Satu Malaysia”. Gagasan tersebut hanya dapat dicapai dan menjadi kenyataan jika seluruh warga Malaysia berjaya disatukan menerusi satu wadah yang boleh diterima oleh semua kaum. Perjalanan untuk mencapai hasrat seperti yang diinginkan oleh gagasan “Satu Malaysia” menjadi mudah dan kurang berliku kerana peranan besar yang berupaya dimainkan oleh bahasa Melayu.

Salah satu usaha asas dan dasar yang mesti dilakukan untuk merealisasikan gagasan “Satu Malaysia” adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Malaysia. Hakikatnya, selepas 52 tahun negara merdeka, dan pelbagai program telah dilaksanakan untuk membangunkan negara, rakyat Malaysia masih belum menerima bahasa Melayu sebagai bahasa dalam sistem pendidikan dan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam menyampaikan maklumat dan ilmu, yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Sewajarnya semua rakyat Malaysia pada semua peringkat menggunakan dan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam semua upacara rasmi negara. Hal ini demikian kerana dengan berbuat demikian mereka merealisasikan hasrat yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Semangat dan hasrat yang termaktub dalam Perkara 152 adalah untuk menyatukan warga negara Malaysia sebagaimana yang dihasratkan dalam gagasan “Satu Malaysia”. Malah, bahasa Melayu telah terbukti sebagai alat penyatuan dan pembinaan budaya bangsa umat di rantau ini dan menjadi ‘lingua franca’ sejak berkurun lamanya di rantau ini, walaupun rantau ini dihuni oleh umat yang pelbagai kaum, agama dan budaya. Mereka bersatu dalam pelbagai budaya dan fahaman agama dengan menggunakan bahasa yang sama, yakni bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sesama mereka. Sepatutnya bahasa Melayu tidak dipertikaikan kedudukan dan peranannya, malah usaha perlu dimantapkan untuk memperkukuh bahasa tersebut dalam arus globalisasi dan ledakan sains dan teknologi demi membangunkan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama. Dalam usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang mampu berfikir dan bertindak dalam satu nada dan matlamat tersebut, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diabaikan.

Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan
Keputusan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik disambut baik oleh golongan yang sekian lama memperjuangkannya. Oleh hal yang demikian, kedudukan bahasa Melayu diletakkan kembali pada tempatnya yang hak. Keputusan kerajaan tersebut juga bermakna bahawa semua mata pelajaran , kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris akan diajar menggunakan bahasa Melayu. Dasar terbaru ini akan memperkukuhkan dan memantapkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Dengan keputusan kerajaan itu juga, bahasa Melayu berpotensi untuk terus berkembang sebagai bahasa ilmu terbuka luas, asalkan semua pihak mengambil langkah yang konkrit untuk merealisasikannya. Bahasa Melayu terbukti mempunyai peluang untuk diangkat dan dijadikan bahasa ilmu dan bahasa kemajuan negara. Adalah tidak adil jiga sesetengah pihak yang beranggapan bahawa bahasa Inggeris sahaja yang mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan negara.

Dengan langkah yang konkrit, termasuk memastikan bahawa bahasa Melayu kembali menjadi bahasa pengantar di universiti, dalam pengajaran dan pembelajaran kursus tertentu di peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, hinggalah ke peringkat PhD. Penulisan tesis dan ilmu dalam bahasa Melayu akan mengangkat status bahasa tersebut. Kita juga mengharapkan lebih banyak ilmuwan, pakar dan profesional dalam pelbagai bidang yang menguasai ilmu dalam bahasa Melayu akan dilahirkan. Golongan ini mampu menguasai dan berupaya mengungkapkan bahasa Melayu secara lisan dan tulisan. Perkara ini sebenarnya sudahpun terbukti hampir 30 tahun yang lalu. Malah, mereka yang terdidik dalam bahasa Melayu masih mampu melanjutkan pelajaran ke luar negara hingga ada yang meraih keputusan yang cemerlang. Ada yang menjadi pakar dan profesional dalam bidang masing-masing. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, pelajar dan ilmuwan di negara ini mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan pelajar dan ilmuwan dari negara lain.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi
Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan juga tidak terlepas daripada peranan untuk mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan di bawah gagasan ”Satu Malaysia”. Visi kementerian ini adalah untuk menjadi peneraju utama gagasan ”Satu Malaysia” yang berteraskan Rukun Negara bagi mewujudkan sebuah negara bangsa melalui wadah penerangan, komunikasi dan kebudayaan. Misi kementerian ini pula antaranya, termasuklah meningkatkan dan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara melalui khidmat dan aktiviti penerangan, komunikasi dan kebudayaan; membangunkan, menyemarakkan dan merakyatkan seni budaya dan warisan menerusi penerangan dan komunikasi; membangunkan dan memperkasa industri komunikasi negara, dan menjana ekonomi negara melalui industri kreatif.

Dari aspek penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang diterajui oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dapat memartabatkan penggunaan bahasa, khususnya bahasa kebangsaan dalam media cetak dan media elektronik yang dari dahulu hingga kini masalah pencemaran bahasa tidak pernah selesai. Masalah pencemaran bahasa termasuklah penggunaan bahasa yang kacau seperti bahasa rojak, bahasa yang tidak baik, betul dan tepat dari aspek hukum bahasa. Begitu juga dengan kandungan maklumat dalam media cetak dan media elektronik pada hari ini yang sarat dengan unsur hedonisme.

Dr. Rais Yatim telah bertindak dan mengambil beberapa langkah proaktif dan berani untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara ini melalui media elektronik kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM). Antara langkah yang telah diambil ialah:
1. Mengarahkan semua kandungan atau program yang disiarkan oleh RTM di TV 1 dan TV 2 mesti menggunakan bahasa Melayu dengan baik, tepat dan betul. Dalam hal ini, Dr. Rais menegaskan, ”Kalau program itu dalam bahasa Melayu, gunakan bahasa Melayu dengan betul. Namun, jika perlu menggunakan bahasa Inggeris, gunakanlah bahasa Inggeris dengan sempurna. Saya tidak suka ada program yang menggunakan bahasa campur-aduk, walau sepatahpun.”
Selain itu, Dr. Rais juga menitikberatkan soal penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap rancangan televisyen yang akan dibekalkan kepada TV1 dan TV2. Beliau akan memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam kedua-dua siaran akan membantu mengangkat martabat bahasa kebangsaan serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
2. Semua penyampai radio RTM juga diwajibkan menggunakan bahasa Melayu dengan baik, tepat dan betul.
3. Penerbit-penerbit TV juga diarahkan agar menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan tepat, (tidak menggunakan bahasa rojak) dalam skrip drama.

Datuk Seri Dr. Rais ialah seorang yang amat mencintai bahasa Melayu. Hal ini terbukti melalui ucapan beliau sama ada di media elektronik ataupun di khalayak ramai yang menggunakan bahasa Melayu yang bermutu tinggi, walaupun beliau juga mempunyai latarbelakang pendidikan bahasa Inggeris. Oleh hal demikian, pemilihan beliau untuk menerajui Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan adalah langkah yang tepat memandangkan bidang penyiaran, komunikasi, kesenian dan kebudayaan mempunyai hubungkait antara satu sama lain.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan
Tidak dinafikan bahawa peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan penyatuan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara kita ada kejayaaannya. Setiap kaum sudah tentu mahu mempertahankan agama, budaya dan tradisi masing-masing. Bahasalah alat yang paling berkesan untun merealisasikan proses penyatuan tersebut. Bahasa Melayu telah diterima dengan baik oleh setiap orang sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Proses penyatuan menjadi mudah dan cepat apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

Anak-anak muda Malaysia semenjak di bangku sekolah telah diajar dan didedahkan dengan mata pelajaran bahasa Melayu. Perjalanan untuk mencapai hasrat seperti yang diinginkan oleh gagasan ”Satu Malaysia” menjadi mudah dan kurang berliku kerana peranan besar yang berupaya dimainkan oleh bahasa Melayu. Bahasa Melayu terbukti berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia di bawah satu bumbung, iaitu bumbung pendidikan. Sistem pendidikan negara kita telah memupuk rasa cinta seluruh negara terhadap bahasa Melayu.

Namun begitu, sepanjang tempoh 52 tahun, bahasa Melayu terpaksa menempuh pelbagai halangan dan ujian yang cukup getir bagi menjadi sebuah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Fungsi bahasa Melayu sebagai lambang jati diri negara tergugat dengan pelbagai halangan terutamanya masalah sikap masyarakat negara ini yang sering memandang rendah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Dalam situasi negara Malaysia yang berbilang kaum, bahasa Melayu seharusnya berfungsi sebagai lambang kebanggaan nasional yang mencerminkan nilai sosiobudaya masyarakatnya. Melalui penerapan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan dalam diri setiap individu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa Melayu, selain berfungsi sebagai bahasa pemersatu, juga seharusnya berfungsi sebagai lambang jati diri nasional yang dapat mengekang kemasukan unsur asing, terutamanya ketika gelombang globalisasi dan ledakan teknologi maklumat melanda dunia termasuk negara kita.

Oleh itu budaya berbahasa perlu dalam kehidupan rakyat yang berbilang bangsa ini melalui bahasa yang satu. Penerapan nilai-nilai murni melalui pembudayaan bahasa dalam diri rakyat Malaysia bukana sahaja dapat melahirkan masyarakat yang berperibadi unggul dan mempunyai nilai-nilai moral yang terpuji, tetapi secara tidak langsung juga dapat membangkitkan semangat kebangsaan yang tinggi, rasa megah serta cinta akan bangsa, bahasa dan negara. Kesedaran untuk memiliki bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu, dan rasa cinta akan bahasa yang satu itu perlu sentiasa disuburkan dalam jiwa rakyat Malaysia kerana bahasa ialah jiwa sesebuah bangsa tanpa mempunyai prasangka terhadap bangsa yang memiliki bahasa tersebut. Sekiranya bahasa tersebut mati, maka maruah dan nilai bangsa tersebut juga akan musnah seperti yang terjadi kepada bangsa Hawaii yang kehilangan bahasanya sendiri. Walau bagaaiamanapun, hal ini sudah tentu tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan setiap individu yang mengaku sebagai rakyat Malaysia. Sesebuah negara akan menjadi kuat kerana bangsanya, dan sesebuah bangsa akan menjadi kuat kerana bahasanya. Buktinya, bangsa Jepun dan China menjadi gergasi ekonomi yang kuat dan maju tanpa mengetepikan budaya dan bahasa sendiri.

Sungguhpun kita sudah berusaha sedaya upaya, selepas lebih daripada 52 tahun menganjurkan kempen dan gerakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, matlamat kita belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Kepincangan fungsi bahasa Melayu itu berpunca daripada persaingannya dengan bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa yang penting bagi kemajuan negara bangsa Malaysia dalam dunia globalisasi moden kini.

Faktor sikap rakyat, krisis jati diri, latarbelakang pendidikan dwialiran dan matlamat komuniti bahasa yang berbeza-beza juga turut menyumbang kepada upaya memperkasakan bahasa kebangsaan. Faktor penyebab ini menjadi bertambah kompleks apabila dilihat dari sudut politik, ekonomi, kesejahteraan, keselamatan dan keadilan dalam masyarakat, serta kedudukan dan peranan Malaysia dalam dunia globalisasi dan komunikasi moden.

Oleh sebab itu, perancangan dan pelaksanaan kempen atau gerakan bahasa kebangsaan memerlukan transformasi dengan strategi alternatif. Untuk itu, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hendaklah ditangani dengan konteks terkini, iaitu falsafah pembangunan negara dan pengurusan kerajaan yang memperkenalkan gagasan “Satu Malaysia” untuk memperteguh atau memperkasakan perpaduan nasional, iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”, dalam negara bangsa Malaysia.
Maka matlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu hendaklah disesuaikan atau diadunkan dengan fungsi untuk memperteguh dan memperkasakan perpaduan nasional itu. Dalam “Satu Malaysia”, kerajaan kita sedang melaksanakan pelbagai usaha ke arah merealisasikan hasrat perpaduan nasional melalui transformasi dan reformasi dalam semua perkara, termasuklah dalam penentuan hala tuju dan sasaran, perancangan program, pembangunan dan penggunaan sumber, serta strategi dan pendekatan pelaksanaan, dengan berpegang kepada prinsip “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

Penutup
Bagi menjayakan gagasan ”Satu Malaysia”, ilmu merupakan satu keperluan yang tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Hanya warga yang berilmu dalam pelbagai bidang sahaja yang mampu menterjemahkan sebuah gagasan menjadi kenyataan. Hakikatnya, penguasaan dalam segala disiplin ilmu lebih mudah diperoleh menerusi bahasa ibunda masing-masing. Hal ini bermakna peranan bahasa Melayu sangat penting untuk menjayakan gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita.

”Satu Malaysia” dan ”Satu Bahasa” mempunyai perkaitan yang sangat erat dan tidak boleh dipisahkan. Bahasa merupakan sebahagian daripada wadah yang mampu mencorakkan sesebuah negara pada masa depan. Bangsa yang hebat dalam mana-mana tamadun dan peradaban tidak pernah meminggirkan bahasa sebagai wadah terpenting yang mampu melahirkan manusia yang berakal budi dan berbudi pekerti tinggi.

No comments: