Wednesday, November 18, 2009

Etika dalam Filem Mukhsin

Pendahuluan
Filem adalah satu bentuk karya seni yang memaparkan jiwa dan pemikiran sang pengarah kepada khalayak. Seperti seorang novelis yang mengungkapkan cantuman aksara dan frasa, sang pengarah mencantumkan imej yang terpancar dari rakaman, kemudian digaul menjadi sebuah realiti baru. Yasmin Ahmad dianggap seorang pengarah yang menghasilkan filem-filem yang berbeza jika dibandingkan dengan pengarah-pengarah Malaysia yang lain. Semasa hayatnya, Yasmin hanya sempat mengarah lima buah filem sahaja, iaitu Sepet, Gubra, Mukhsin, Mualaf, dan yang terakhir Talentime. Beliau telah meninggal dunia pada 25 Julai 2009 yang lalu.
Hampir semua filem Yasmin Ahmad memaparkan hubungan antara kaum yang digambarkan secara amat jujur. Filem pertama, Sepet misalnya, mengisahkan tentang percintaan antara seorang gadis Melayu dengan seorang pemuda keturunan Cina yang menjadi penjual VCD haram. Persoalan yang dikemukakan tersebut telah mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan masyarakat kerana perhubungan tersebut dianggap telah melanggar tatasusila, adat dan budaya Melayu. Namun, Yasmin tetap dengan pendirian beliau untuk meneruskan kesinambungan filem-filem kontroversi beliau menerusi filem Gubra dan Mualaf.
Menurut Ku Seman Ku Hussain (2009), “Yasmin menggaulkan keharmonian pelbagai kaum secara realistik dan kita dapat menerimanya sebagai suatu yang seharusnya terjadi atau yang benar-benar berlaku.”
Dengan kata lain, kejujuran Yasmin Ahmad dalam menggambarkan realiti masyarakat Malaysia telah menarik minat penulis untuk memilih filem ke-3 beliau iaitu MUKHSIN sebagai bahan kajian. Mukhsin, berbeza dengan filem-filem sebelumnya telah memilih percintaan kanak-kanak sebagai subjek utama. Berdasarkan ungkapan rasmi dalam filem ini, “setiap insan mesti mempunyai cerita mereka tersendiri tentang cinta pertama mereka.”
Filem ini mengisahkan kisah cinta Mukhsin dan Orked yang masing-masing berumur 12 dan 10 tahun. Mereka dipertemukan pada waktu cuti sekolah, semasa mereka bersama-sama kanak-kanak lain bermain ‘galah panjang’ di perkarangan rumah. Orked, tidak seperti kanak-kanak perempuan lain, lebih lasak dan suka bermain seperti lelaki. Kehadiran Mukhsin, yang tinggal di rumah emak saudaranya, Makcik Senah semasa musim cuti sekolah telah membibitkan sebuah persahabatan. Sejak hari itu mereka berdua sering menghabiskan masa bersama di sekitar kampung. Sebagai kanak-kanak yang meningkat remaja, Mukhsin mula menyimpan rasa terhadap Orked, menyebabkan wujud permasalahan antara mereka, dan bagaimana perasaan cinta tersebut akhirnya merosakkan sebuah persahabatan. Bagaimanapun ketika itu, Orked terlalu mentah untuk bercinta, manakala Mukhsin pula sedang melalui zaman peralihan akil baligh.
Tema percintaan zaman kanak-kanak ini menjadi subjek yang menarik untuk dibincangkan dari sudut moral dan etika kerana filem ini banyak memaparkan adegan-adegan hubungan antara Mukhsin dan Orked yang dianggap melanggar nilai-nilai agama dan adat ketimuran seperti berdua-duaan di tempat sunyi, berpegang tangan, keintiman sewaktu Orked duduk membonceng di palang basikal dan banyak lagi isu yang boleh dipersoalkan dari sudut etika dan moral. Kerelaan segelintir orang dewasa yang diwakili oleh ibu bapa Orked dan makcik Mukhsin tentang perhubungan intim kedua-dua kanak-kanak ini juga boleh dipersoalkan. Selain itu, persoalan-persoalan sampingan seperti hubungan kejiranan, hubungan suami isteri, amalan hidup kebaratan, pelacuran, keruntuhan moral anak-anak muda juga turut disentuh dalam filem ini.
Konsep Etika dan Moral
Menurut Kamus Dewan(Edisi ke-4, 2005), etika berasal dari perkataan Greek iaitu ‘ethos’ yang bermaksud perangai, cara hidup atau adat resam. Definisi lain ialah, kajian sains berkenaan kelakuan manusia dalam masyarakat. Etika adalah sebahagian daripada bidang falsafah yang berkaitan dengan kehidupan yang baik, menjadi orang baik, melakukan perkara yang betul, dapat bergaul dengan orang lain dan memerlukan perkara yang betul dalam hidup. Etika juga adalah ilmu yang membincangkan berkenaan tingkah laku manusia yang dipandang daripada sudut baik dan buruk yang dapat ditentukan oleh akal manusia.
Etika adalah satu sistem atau falsafah tatakelakuan yang diamalkan oleh seseorang atau kumpulan. Ia juga boleh diertikan sebagai satu himpunan piawaian yang memerlukan sesuatu tindakan individu itu betul atau salah. Ringkasnya, etika adalah perilaku atau perlakuan yang diamalkan oleh seseorang individu berdasarkan kepada ukuran-ukuran yang telah ditentukan sama ada bertulis atau tidak. Dalam konteks yang lebih luas, etika mencerminkan nilai-nilai yang dianuti dalam sesebuah masyarakat. Suprihadi dan Suhartono mengatakan, “ilmu tentang tingkah laku manusia yang tidak sahaja mempertanyakan kenapa tindakan itu terjadi dan baik atau tidaknya tindakan itu, kenapa timbulnya tindakan itu bahkan bertanyakan latarbelakangnya, motivasi tindakan itu, kenapa timbulnya tindakan itu dan apa akibatnya secara lahir dan batin.” (Suprihadi dan Suhartono dlm. Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yonus@Ahmad, 1992)
Moral pula ialah tingkah laku atau amalan yang sejajar dengan tatasusila dan undang-undang masyarakat. Dalam konteks Malaysia, tatasusila merangkumi segala nilai murni seperti adil, baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat-menghormati, bekerjasama, rajin, sederhana, bersyukur, rasional dan semangat kemasyarakatan. Menurut Tam Yeo Kwai (2006), amalan atau tindakan bermoral dapat dilihat dari segi tindak balas individu pada situasi-situasi seperti di bawah:
- Pengawalan diri pada keinginan nafsu atau tingkah laku yang salah
- Kawalan atau keperluan fizikal yang berdasarkan peraturan-peraturan masyarakat yang diterima secara rasional
- Bertindak secara rasional pada keputusan moral yang melibatkan pentafsiran berkenaan tindakan yang dikatakan betul
- Sentiasa menjaga dan bertindak dalam keadaan yang berdisiplin serta menghayati standard kehidupan yang dicapai oleh sosio-ekonomi masyarakat.
Etika dan moral juga boleh dilihat dari perspektif Islam. Menurut Ibn Miskawayh, akhlak adalah keadaan jiwa yang menggerakkan manusia melakukan perbuatan tanpa pertimbangan fikiran (Ibn Miskawayh dlm. Nazirmuddin Ahmad et al , 1992)
. Menurut Imam Al-Ghazali pula, akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa yang membentuk perbuatan dengan mudah dan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu (Al Ghazali dlm. Nazirmuddin Ahmad et al , 1992).
. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’:17-84 yang bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhamamad), Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapa (di antara kamu) yang lebih betul jalannya.”
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan sebaik-baiknya berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan, sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti dalam dasar penerapan nilai-nilai Islam) menjadi faktor penghalang dalaman bagi menyalahgunakan kemahiran ataupun kekayaan yang dimiliki.
Sebagai kesimpulannya, bolehlah dirumuskan bahawa etika dan moral ialah peraturan dalam sesebuah masyarakat yang menerangkan sesuatu itu sama ada betul atau salah serta mampu menyediakan garis panduan perbezaan antara kebaikan dan keburukan mengenai perbuatan atau kecenderungan seseorang Akhlak pula ialah budi pekerti seseorang yang merujuk kepada kelakuan, watak dan gerak geri sama ada baik atau buruk.
Tulisan ini akan menggunakan teori-teori etika menurut pandangan Islam dan Barat dalam mengulas isu-isu dan persoalan yang dikemukakan dalam Filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad.
Persoalan Etika Dalam Filem Mukhsin
1. Percintaan Zaman Kanak-kanak
Percintaan zaman kanak-kanak menjadi subjek utama dalam filem ini. Mukhsin, remaja yang baru berusia dua belas tahun jatuh cinta pandang pertama kepada Orked yang berusia sepuluh tahun. Pertemuan pertama mereka adalah semasa Orked menggantikan seorang budak lelaki yang cedera semasa bermain galah panjang. Kata orang, cinta itu buta. Selepas peristiwa tersebut Mukhsin sering membawa Orked dengan basikalnya merayau-rayau sekitar kampung untuk mengisi masa cuti sekolah. Orked pula tanpa segan silu dan prasangka duduk di atas palang basikal yang dikayuh oleh Mukhsin. Mereka digambarkan begitu gembira dan bebas ke sana ke mari dan singgah di mana-mana sahaja yang mereka suka, seperti bangunan tinggalan sejarah, atas jambatan, duduk berdua di kawasan hutan, memanjat pokok dan lain-lain lagi.
Keadaan mereka berdua yang sentiasa bersama itu agak bertentangan dengan nilai etika dan moral masyarakat Timur, apa lagi jika dilihat dari sudut agama Islam. Islam turut menyebut di mana usia seawal satu hingga 12 tahun adalah usia untuk ibu bapa mendidik anak dengan akhlak terpuji bukan dengan membenarkan mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan terpencil. Dalam Islam, hubungan intim lelaki dan perempuan yang bukan muhrim boleh membawa kepada perlakuan yang lebih buruk hingga kepada perbuatan zina. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud:
“Jangan kamu menghampiri perzinaan kerana sesungguhnya zina adalah perbuatan yang kotor dan cara yang sangat tidak baik.” (al-Isra': 32)
Keintiman perhubungan dua kanak-kanak tersebut, walaupun masih terkawal dan dengan niat yang masih suci perlu halang bagi mengelakkan berlakunya keterlanjuran. Dalam filem ini, peluang mereka untuk melakukan perbuatan terlanjur memang ada. Keadaan ini jelas dilihat semasa Mukhsin memberanikan diri mengusap anak rambut Orkid semasa mereka berdua sedang duduk di atas pokok. Perbuatan Mukhsin tersebut datang dari rasa sayang yang mula hadir dalam dirinya dan tentunya dia mengharapkan tindak balas yang sama daripada Orked. Namun pengarang bersikap bijak dengan tidak meneruskan keterlanjuran tersebut dengan menggambarkan watak Orked sebagai gadis sunti yang belum mengerti tentang cinta dan keintiman. Kata Orked, “Jangan buat macam tu, Orked gelilah”. Kata-kata tersebut mematikan hasrat Mukhsin untuk meneruskan perbuatannya, ditambah dengan melihat wajah Orked yang begitu tulus semasa mengucapkan kata-kata tersebut.
Peranan orang dewasa yang diwakili oleh Pak Atan dan Mak Inom dalam menghalang dan menegur anak gadis mereka langsung tidak ada. Mereka bersikap berbaik sangka terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut malah merestui persahabatan tersebut kerana beranggapan hubungan tersebut hanya bersifat sementara dan tidak memudaratkan. Pertimbangan fikiran Pak Atan dan Mak Inom terhadap situasi tersebut mungkin berpunca daripada pendidikan Barat yang diterima menyebabkan mereka bersikap terbuka dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Pengaruh budaya barat dalam kehidupan keluarga Orked jelas terbukti apabila mereka sekeluarga bercakap bahasa Inggeris di rumah. Selain itu, adegan tiga beranak ini menari di dalam rumah mengikut rentak lagu Ne Me Quitte Pas (Don’t Leave Me) nyanyian Nina Simone jelas menggambarkan pengaruh cara hidup barat dalam keluarga tersebut.
Konsep moral menurut Tam Yeo Kwai (2006) ialah bertindak secara rasional pada keputusan moral yang melibatkan pentafsiran berkenaan tindakan yang dikatakan betul (Tam Yeo Kwai,2006). Dalam hal ini, perlakuan Mak Inom dan anaknya Orked yang menari di dalam hujan di halaman rumah mengikut rentak lagu keroncong ‘Hujan’ menggambarkan perlanggaran nilai etika yang diamalkan oleh masyarakat setempat secara kolektif. Ini kerana perbuatan tersebut dianggap tidak sopan dalam masyarakat Melayu yang mementingkan adab sopan.
Dalam Islam, cinta (al-mahabbah) dan persahabatan (al-sadaqah) merupakan dua elemen penting yang bukan sahaja dapat menghidupkan jalinan ikatan sosial antara sesama manusia, tetapi sekali gus menjadi elemen yang dapat menjamin kekuatan sesebuah keluarga, masyarakat, negara ataupun sesebuah tamadun. Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang mempunyai keinginan semulajadi untuk mencapai kemuliaan dan kesempurnaan. Cinta selalu disinonimkan dengan proses perjuangan manusia untuk memperoleh kesempurnaan tersebut. Jadi, perasaan cinta merupakana bahagian yang bersebati dengan diri manusia itu sendiri.
Cinta berahi (al-ishq/passionate love) pula merujuk kepada perasaan berahi yang terjadi khususnya antara seseorang dengan pasangannya, terutama antara lelaki dan wanita. Dalam konteks filem Mukhsin, perhubungan antara Orked dan Mukhsin lebih kepada keinginan manusia untuk menjalin perhubungan persahabatan atau cinta, boleh dilihat dalam empat fasa, iaitu pertemuan, persahabatan, pertelingkahan dan perpisahan. Fasa pertama bermula dengan pertemuan yang ditakdirkan. Kalau ibu bapa Orked tidak memujuknya supaya keluar bermain dengan kanak-kanak lain, sudah tentu pertemuan tersebut tidak berlaku. Fasa kedua ialah kegembiraan mereka mengharungi pelbagai aktiviti bersama seperti menunggang basikal, memanjat pokok, bermain layang-layang, menonton bola bersama keluarga Orked dan banyak lagi. Dua orang kanak-kanak ini menyenangi antara satu sama lain. Orked, apabila mendengar sahaja suara Mukhsin memanggilnya dari luar rumah, terus meluru keluar meninggalkan apa sahaja perkara yang sedang dibuatnya. Di pihak Mukhsin pula, menggambarkan keadaan yang lebih hebat dari segi perasaan dan tingkah lakunya. Hampir setiap hari Mukhsin datang ke rumah Orked untuk mengajaknya keluar. Palang basikalnya dibalut dengan kain supaya Orked dapat duduk lebih selesa. Pakaiannya dan rambutnya lebih kemasSuatu hari dia curi-curi memakai baju kemeja abangnya Hassan untuk pergi menonton perlawanan bola sepak dengan keluarga Orked. Dia ditegur oleh Mak Senah kerana bimbang dimarahi Hassan apabila memakai bajunya tanpa kebenaran.
Perubahan tingkah laku Mukhsin tersebut menunjukkan dia telah mempunyai suatu perasaan terhadap seorang perempuan. Sebagai seorang lelaki yang mula memasuki gerbang akil baligh, naluri untuk mencintai dan dicintai telah mula wujud dan ia sesuatu yang normal. Perasaan yang dialami tersebut sungguh indah kerana ia adalah pertama kali dalam hidup. Inilah subjek utama yang menjadi idea Yasmin Ahmad menghasilkan filem ini. Katanya, “setiap orang ada kisah cinta pertamanya sendiri.” Perasaan itulah yang cuba hendak dikongsi dengan para penonton.
Perasaan yang dipendam oleh Mukhsin terhadap Orked akhirnya menyebabkan wujudnya permasalahan antara mereka. Semasa bermain galah panjang seorang budak lelaki telah memeluk pinggang Orked menyebabkan mereka berdua jatuh berguling-guling. Melihat kejadian tersebut Mukhsin berasa cemburu lalu memarahi dan menghalau Orked sambil mengeluarkan kata-kata kesat yang melukakan hati Orked. Sejak itu, dia enggan menemui Mukhsin lagi walaupun Mukhsin datang ke rumah untuk memujuknya. Sehinggalah musim cuti sekolah hampir berakhir, bapa Mukhsin datang untuk menjemputnya pulang ke rumah. Akhirnya persahabatan antara dua insan awal remaja ini berakhir tanpa mereka sempat untuk mempertautnya kembali. Itulah sekelumit kisah yang menyentuh hati yang mungkin pernah dialami oleh kebanyakan kita semua.
2. Etika Kejiranan
Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu perbuatan yang dianggap melanggar tatasusila kadang kala boleh dipersoalkan dari segi kebenarannya. Dalam budaya masyarakat Melayu, terutamanya dalam kehidupan berjiran, perbuatan ‘menjaga tepi kain orang’ atau suka mengambil tahu hal orang lain dianggap sebagai satu penyakit sosial kerana banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat berbanding kebaikan. Dari sudut kebaikan, sikap mengambil tahu atau mengambil berat terhadap jiran adalah baik kerana wujudnya budaya tegur-menegur dalam masyarakat bagi meningkatkan kualiti nilai hidup. Tetapi sebaliknya, jika tujuan tersebut semata-mata untuk dijadikan bahan cerita sensasi bagi mengisi masa lapang, ia adalah perbuatan yang melanggar prinsip moral dan juga bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam, perbuatan mengumpat dianggap seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri. Begitulah gambaran hinanya perbuatan memburuk-burukkan orang lain di mata Islam.
Dalam filem ini, Yasmin Ahmad turut melontarkan kritikan kepada sesetengah golongan masyarakat yang suka mengkritik keburukan orang lain tetapi diri sendiri juga tidak sempurna. Perkara ini sering berlaku dalam kehidupan berjiran menyebabkan wujud keadaan tidak harmoni di kalangan jiran tetangga. Pak Man Koboi, jiran Pak Atan dan Mak Inom, seorang lelaki pertengahan usia mempunyai isteri yang sarat mengandung dan seorang anak perempuan bernama Ayu yang hampir sebaya dengan Orked. Isteri Pak Man, Rozie merupakan seorang suri rumah sering memerhatikan tingkah laku keluarga Pak Atan yang dianggap pelik itu. Apabila dia melihat sesuatu yang berlaku, misalnya peristiwa set sofa ditarik oleh pekerja kedai perabot, dia telah mengajar anaknya supaya menyindir Orked. Anaknya Ayu telah menjadi perantara dalam menyampaikan sindiran. tersebut. Perbuatan suka menjaga tepi kain ini telah diperturunkan kepada anaknya, Ayu. Jadi, filem ini telah mendedahkan bahawa orang dewasa tidak sepatutnya mendidik anak mereka agar mewarisi sikap buruk mereka. Jika diperhatikan perwatakan Ayu benar-benar mewarisi sikap suka menjaga tepi kain orang yang diamalkan di kalangan segelintir wanita Melayu terutamanya suri rumah.
Dalam filem ini, pengarahnya seolah-olah menghukum terus sikap buruk suka menjaga tepi kain orang tersebut dengan mewujudkan watak suami Rozie sebagai seorang yang curang. Pak Man Koboi seorang suami yang mempunyai kekasih lain seorang gadis keturunan India. Dia telah menipu gadis tersebut dengan mengatakan bahawa dia belum berkeluarga. Di rumah, dia telah bersikap dingin terhadap isterinya yang sedang sarat mengandung walaupun sang isteri tersebut seorang yang sangat patuh kepada suami dan berperanan menguruskan rumah tangga dengan sempurna.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Miller (1965), bangsa Melayu dikatakan antara kaum yang paling bersopan-santun dan lemah-lembut di dunia. Bangsa Melayu sanggup berkorban demi menjaga hati jiran, kawan atau sesiapa sahaja. Selain itu, masyarakat Melayu sangat menghormati tetamu, bertolak ansur, tidak suka bergaduh, sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, mudah bersimpati dan sebagainya. Dalam filem ini, banyak adegan yang mencerminkan ciri-ciri masyarakat Melayu asli yang masih bertahan. Ini dapat disaksikan sewaktu ibu bapa dan anak lelaki yang datang ke rumah Pak Atan dan Mak Inom, iaitu ibu bapa Orked untuk mengadu tentang Orked yang telah membuang beg anak mereka keluar daripada bas sekolah. Ibu bapa Orked telah melayan tetamu tersebut dengan baik dengan menghidangkan minuman, meminta Orked bersalaman dengan tetamu sambil mencium tangan, dan berbual dengan penuh sopan.
Hubungan kejiranan juga terserlah dalam filem ini apabila Kak Yam yang menjadi orang gaji keluarga Orked telah pergi ke rumah jiran untuk meminta asam keping bagi digunakan dalam masakan. Kedua-dua jiran tersebut sepat bergurau senda dan bergelak ketawa. Satu lagi contoh ialah adegan Kak Yam bertandang ke rumah Mak Senah, iaitu makcik Mukhsin untuk sama-sama membuat aiskerim. Peristiwa ini mencerminkan keharmonian hidup berjiran yang sekian lama diamalkan dalam masyarakat Melayu.
Kita juga diingatkan supaya melaksanakan tuntutan Islam dengan mengajak umatnya sentiasa menjaga hubungan yang baik dan murni sesama Islam dan juga dengan bukan Islam, yang berjiran dengan kita sama ada yang tinggal berdekatan atau berjauhan dengan kita. Tanggungjawab dan peranan jiran adalah untuk memupuk perpaduan, menjalin hubungan kasih sayang, mempercayai antara satu sama lain yang perlu diterapkan dengan jujur dan ikhlas oleh setiap individu Islam dan bukan Islam. Rasulullah mengatakan:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirananya”. (Abu Hurairah).
Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani bahawa tanggungjawab seseorang terhadap jirannya ada lapan perkara:
o Melawat apabila dia sakit.
o Mengiringi jenazah apabila dia meninggal dunia.
o Membantunya apabila dia memerlukan bantuan.
o Melindunginya pada masa dia dalam kesusahan dan kepapaan.
o Ucapkan tahniah apabila dia memperolehi nikmat.
o Ucapkan takziah apabila dia ditimpa kesusahan.
o Jangan meninggikan binaan rumah melebihi bangunan rumahnya sehingga menyekat udara kepadanya.
o Janganlah menyakitinya dengan bau enak masakan kecuali diberikan kepadanya.
3. Pengaruh Budaya Barat dalam Kehidupan
Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu sekarang lebih bersifat kosmopolitan, liberal dalam soal-soal agama, materialistik dan mengamalkan sikap hidup individualistik. Dalam hal ini, watak-watak insan Melayu dalam filem Mukhsin banyak menyimpang daripada adat resam dan telah mengalami proses pembaratan. Dalam hal ini, cara hidup keluarga Orked boleh dijadikan satu kajian yang menarik untuk melihat pengaruh pendidikan Barat di kalangan masyarakat Melayu. Ibu bapa Orked iaitu Pak Atan dan Mak Inom mendapat pendidikan Inggeris dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara barat. Pengaruh Barat dapat dilihat dalam kehidupan mereka, antaranya, banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan di rumah. Anak mereka Orked juga fasih berbahasa Inggeris. Amalan berbahasa Inggeris tersebut kadang kala amenimbulkan rasa tidak senang di kalaangan jiran. Ini dapat dilihat menerusi dialog yang dibualkan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang berjiran dengan mereka.
“Mak Orked selalu cakap orang putih. Mentang-mentanglah belajar kat England.”
Dialog di atas, walaupun dilafazkan oleh kanak-kanak, namun sudah tentu diajuk daripada percakapan ibu bapanya. Orked juga pernah mengeluarkan perkataan Inggeris yang bermaksud untuk menjawab sindiran kawan perempuan terhadap ibu bapanya ibu bapanya.
Selain itu, pengaruh kebudayaan Barat dalam mempamerkan kasih sayang suami isteri secara berlebih-lebihan juga ditunjukkan dengan jelas dalam filem ini menerusi perlakuan Pak Atan dan Mak Inom seperti suka berdampingan, bergurau senda secara intim, mandi bersama dan lain-lain lagi. Dalam satu adegan, Pak Atan mendukung Mak Inom semasa hendak masuk ke rumah sambil ketawa. Perlakuan tersebut diperhatikan oleh jiran mereka dengan pandangan yang jelek. Kelakuan tersebut, walaupun dilakukan oleh pasangan suami isteri ternyata tidak sesuai diamalkan dalam masyarakat kita malah bertentangan dengan nilai ketimuran yang mementingkan adab sopan. Namun sensitiviti tersebut langsung tidak dihiraukan oleh pasangan Pak Atan dan Mak Inom kerana pendidikan Barat yang diterima menjadikan mereka bersifat individualistik.
Menurut Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yunos@Ahmad(2005), Teori Egoisme yang dikemukakan oleh Barat menyarankan seseorang itu mesti bertindak atas kepentingan diri sendiri. meletakkan segala tingkah laku yang dilakukan akan memberi manfaat kepada diri sendiri tanpa memikirkan apakah orang lain sepatutnya mendapat manfaat daripada apa yang dilakukan. Ahli-ahli falsafah yang yang menganut fahaman ini seperti Epicurus, Ayn Rand, Jesse Kalin dan John Haspers berpendapat bahawa semua manusia sepatutnya mematuhi dan mempercayai teori ini untuk meletakkan kepentingan diri sebagai matlamat bagi semua tindakan yang dilakukan.
Matlamat meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan lain menyebabkan seseorang itu bebas bertindak mengikut apa yang dirasakan betul tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, keluarga Pak Atan mewakili teori Barat yang dikemukakan di atas. Keluarga ini kelihatan berbeza berbanding dengan keluarga-keluarga lain dalam masyarakat sekelilingnya menyebabkan mereka menjadi bahan percakapan masyarakat.
Kedatangan orientalis Barat bukan sekadar mencari kekayaan semata-mata, tetapi untuk menanam pengaruh sekularisme di kalangan masyarakat peribumi. Kemunculan sekolah-sekolah Inggeris pada awal abad ke-18 memberikan kesan yang besar serta mendalam terhadap masyarakat Melayu Islam di negara ini. Waktu masyarakat Islam amat kuat berpegang kepada ajaran Islam berasa bimbang dan curiga terhadap pertumbuhan sekolah-sekolah Inggeris yang diusahakan oleh pihak orientalis British. Mereka takut anak-anak mereka terjebak dengan usaha-usaha pihak orientalis British melalui sekolah-sekolah Inggeris yang diusahakan oleh mubaligh Kristian.
Pada tahun 1816, sekolah Penang Free School telah ditubuhkan. Dalam kurikulum sekolah tersebut tidak langsung ditekankan pendidikan agama tetapi sebaliknya menekankan kemahiran kehidupan seharian sahaja. Dalam buku Pendidikan di Malaysia karangan Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee (1988) secara jelas mengatakan bahawa pendidikan Inggeris bertujuan bagi pembentukan akhlak berdasarkan ajaran agama Kristian, seperti petikan berikut:
“Sekolah-sekolah mubaligh ini dibuka kepada kanak-kanak berbilang kaum serta dan tujuan menubuhkan sekolah itu ialah menyediakan pendidikan umum serta membaiki akhlak kanak-kanak berdasarkan ajaran Kristian”.
Ini merupakan suatu gejala yang membimbangkan masyarakat Melayu waktu itu kerana lahir anggapan ada usaha-usaha untuk mengkristiankan orang Melayu. Malah kelahiran sekolah-sekolah Inggeris ini merupakan suatu ancaman kepada pendidikan Islam yang sedang umbuh subur di Tanah Melayu waktu itu.
Kemunculan Malay College di Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1905, sebuah sekolah berasrama penuh, khususnya bagi anak-anak Melayu peringkat atasan atau elit yang bertujuan untuk melahirkan cendekiawan Melayu dalam usaha untuk melahirkan pegawai-pegawai tadbir Melayu telah sedikit sebanyak mengubah minda dan pemikiran Melayu agar berjiwa Inggeris. Kelahiran penuntut-penuntut Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris ini kemudiannya mencorakkan perjalanan sejarah pemikiran alam Melayu kepada satu bentuk baru yang terpisah dari alam pemikiran Melayu Islam. Lantaran itulah kita boleh melihat bagaimana berlakunya pertembungan dan percanggahan pemikiran dalam persoalan yang merangkumi urusan agama, pendidikan, sosial dan semasa.
Dasar pendidikan British di Tanah Melayu sebelum perang telah disifatkan sebagai ‘dualistik’ kerana mengkhaskan pendidikan Inggeris bagi golongan elit manakala pendidikan vernakular dianggap sesuai bagi orang ramai. Ia bertujuan mewujudkan jurang perbezaan dalam masyarakat Melayu agar memudahkan pihak penjajah meluaskan pengaruh serta pegangan mereka di Tanah Melayu. Pendidiakan Inggeris waktu itu berfungsi sebagai saluran melatih pekerja kolar putih yang perlu bagi pegawai rendah dan menengah dalam perkhidmatan awam serta alam perniagaan manakala pendidikan vernakular membantu membendung orang biasa dalam order masyarakat tradisi yang didapati begitu sesuai dengan kepentingan British.
Di sini bolehlah dikatakan bahawa sememangnya tujuan pihak British untuk mewujudkan juga perbezaan pemikiran antara masyarakat umum dengan golongan elit Melayu. Tujuan halus ini memudahkan pihak British membentuk golongan terpilih tersebut untuk dicorakkan mengikut kehendak mereka, manakala golongan rakyat biasa akan sentiasa bergantung kepada orang lain.
Usaha British secara halus untuk memisahkan masyarakat Melayu dengan kehidupan agamanya amat berjaya. Lantaran itu usaha penubuhan sekolah-sekolah aliran Inggeris dan diberikan secara percuma mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu. Fenomena ini beberapa tahun kemudian melahirkan golongan masyarakat Melayu yang berjiwa British atau membentuk masyarakat Melayu hidupnya sekadar menerima Islam sebagai suatu kepercayaan yang berkaitan dengan urusan akhirat semata-mata. Hasil daripada sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British maka budaya harian orang Melayu turut mengalami perubahan, namun perubahan tersebut berlaku secara eolusi. Lantaran itulah perubahan tersebut tidak mendapat tentangan orang Melayu. Bermula dengan cara berpakaian, bertudung, bergaul antara lelaki dan perempuan, kehidupan harian yang penuh adat resam mulai ditinggalkan secara beransur-ansur. Kesan pendidikan Barat ini juga berjaya melahirkan pemikiran bahawa agama hanya merupakan keperluan kepercayaan dan adat semata-mata. Malah agama Islam akhirnya menjadi sebuah agama ritual semata-mata. Fenomena inilah menyebabkan orang Melayu berasa jauh daripada Islam yang suatu masa dahulu merupakan panduan dan pegangan hidup. Fenomena ini akhirnya nanti menjadi suatu gelombang yang meminggirkan pemikiran dan amalan Islam dalam kehidupan masyarakat Melayu. Malah tahap kefahaman Islam di kalangan masyarakat Melayu menjadi longgar serta mereka bersifat selamba dengan agama itu sendiri. Senario ini nantinya menjadi suatu pemikiran yang terlalu asing dalam alam Melayu.
4. Kehidupan Suami Isteri
Namun begitu, dari sudut positif, cara hidup keluarga Pak Atan tersebut sebenarnya tidaklah keterlaluan dari sudut etika kerana keintiman suami isteri memang dituntut dalam mana-mana sistem nilai di dunia. Hubungan suami isteri antara Pak Atan dan Mak Inom begitu harmoni. Setiap masalah yang timbul diselesaikan dengan perbincangan. Perhatikan contoh-contoh di bawah untuk membuktikan bahawa pasangan suami isteri ini berjaya menyelesaikan sesuatu masalah dalam keluarga dengan bijaksana.
a. Pak Atan berjaya memujuk Orked supaya keluar bermain dengan kanak-kanak lain dengan cara berjanji akan membawa Orked menonton perlawanan bola sepak. Janji tersebut ditunaikan oleh sang bapa.
b. Semasa Orked dilanda kesedihan akibat kata-kata kesat Mukhsin kepadanya, Pak Atan sekali lagi memujuk anaknya dengan kaedah yang sama. Beliau menggunakan kata-kata yang lembut menyebabkan Orked menangis sambil memeluk bapanya.
c. Peristiwa set sofa ditarik oleh pembekal kerana tidak membayar ansuran selama tiga bulan. Pak Atan telah menjelaskan perkara tersebut dengana memberikan alasan yang boleh diterima. Walaupun jawapan tersebut tidak begitu memuaskan hati Mak Inom tetapi beliau tidak melenting dan mengikut perasaan tetapi telah mengeluarkan dialog yang tepat, iaitu: “I lebih suka baring atas lantai saja daripada berhutang.” Kata-kata Mak Inom tersebut menggambarkan beliau tetap tidak bersetuju dengan cara Pak Atan menyelesaikan masalah bertukar-tukar set sofa dalam masa tiga bulan.
Dalam satu peristiwa, semasa hendak keluar ke tempat kerja, Pak Man Koboi hanya bersalaman dengan isterinya dengan separuh hati sahaja. Isterinya Rozie selama ini hanya memendam perasaan sahaja tanpa menunjukkan reaksi memberontak walaupun suaminya bersikap dingin terhadapnya. Terdapat satu dialog yang menarik untuk menggambarkan seorang isteri yang kesepian. Semasa Pak Man Koboi asyik menggilap skuter Vespanya, isterinya berkata, “Seronoknya jadi motor, hari-hari kena gosok.” Kemuncak kepada hubungan suami isteri tersebut ialah apabila Pak Man Koboi berterus terang kepada isterinya untuk berkahwin satu lagi dengan alasan sudah berjanji dengan ibu bapa gadis tersebut. Dalam hal ini, sang suami langsung tidak bersimpati dengan isterinya yang merayu sambil menangis teresak-esak ditambahan pula keadaan isterinya yang sedang sarat mengandung.
Yasmin Ahmad ingin mendedahkan kepada penonton akan realiti yang berlaku dalam rumah tangga orang Melayu yang bertepatan dengan peribahasa, air yang tenang jangan disangka tiada buaya, yang bermaksud keadaan rumah tangga yang dari luar kelihatan tenang, rupa-rupanya wujud pergolakan. Situasi sedemikian boleh membawa kepada keadaan yang lebih buruk seperti perceraian atau kecurangan dalam rumah tangga, sama ada di pihak suami atau isteri yang banyak berlaku sekarang. Tempoh kesabaran seseorang ada batasnya. Kita tidak perlu terkejut jika Rozie berubah sikapnya menjadi seorang isteri yang tidak lagi taat kepada suami serta yang lebih membimbangkan ialah sekiranya beliau berhasrat ingin membalas dendam atas penganiayaan yang dilakukan oleh suami terhadapnya.
Dari perspektif agama, perbuatan Pak Man Koboi terhadap isterinya boleh dikategorikan sebagai penderaan mental. Dalam hal ini, hadis Rasulullah yang berbunyi, “orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isteriku” adalah contoh terbaik untuk diikuti. Dari perspektif budaya dan norma masyarakat, sebagai masyarakat timur, kita dididik supaya berkasih sayang antara sesama anggota keluarga. Kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga adalah kunci untuk mencapai kejayaan. Rumah merupakan syurga permulaan untuk membentuk kedamaian mental. Ini memerlukan setiap pasangan untuk saling menghormati, bertanggungjawab dan menyayangi antara sesama ahli keluarga.
Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat uami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannyayang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akanditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selaindari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut. Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :
o Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
o Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.
o Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.
o Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.
5. Keruntuhan Moral Remaja
Dalam filem Mukhsin ada banyak adegan yang memaparkan tentang kepincangan hidup masyarakat terutamanya golongan muda seperti minum arak, berpeleseran di kelab malam dan melanggani pelacur. Semua peristiwa yang melibatkan aktiviti tersebut diwakili oleh watak Hussin. Hussin, dan adiknya Mukhsin, tinggal bersama dengan Mak Senah, makcik mereka kerana ibu bapa mereka menghadapi masalah perpecahan rumah tangga. Hussin, pemuda berusia awal 20an, menghabiskan masa waktu malam dengan alkohol di kelab malam dan sesekali melanggani pelacur di rumah pelacuran. Dia pulang ke rumah Mak Senah waktu dinihari dalam keadaan mabuk dan muntah. Pada suatu dinihari, dia pulang seperti biasa dalam kemabukan, menyampaikan berita ibunya mati kerana membunuh diri. Kedua-dua beradik iaitu Hussin dan Mukhsin berpelukan buat pertama kali kerana menangisi berita tersebut walaupun dalam cerita ini kedua-duanya digambarkan seperti anjing dengan kucing, sentiasa bergaduh.
Dalam membicarakan hal kepincangan hidup masyarakat Melayu Islam, eloklah sekiranya kita mengaitkan perbincangan dengan teori akhlak dari perspektif Islam. Dalam Islam, aqidah, syariah dan akhlak adalah merupakan tiga asas penting yang tidak dapat dipisahkan dan menjadi panduan hidup umat. Aqidah ialah keimanan kepada Tuhan, kepercayaan ini dimanifestasikan melalui syariah dan ibadah. Aqidah yang bersih pasti akan melahirkan akhlak yang bersih dan mulia, manakala aqidah yang kacau akan melahirkan akhlak yang buruk lagi hina.
Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang terkenal telah menjelaskan tentang tujuan kedatangannya ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak atau moral yang baik. Akhlak merupakan amalan yang paling berat yang dinilai dalam neraca setiap hambanya pada hari kiamat. Rasulullah menegaskan:
“Tidak ada satu pun yang akan lebih memberatkan timbangan (kebaikan) seorang hamba mukmin nanti pada hari kiamat selain dari akhlak yang baik...”. (Riwayat Tirmidzi).
Dalam Ensiklopedia Hukum Islam (hlmn. 73), perkataan akhlak adalah jamak dari al-kluluk yang bermakna kebiasaan, perangai, tabiat dan agama. Tingkah laku yang lahir daripada manusia dengan sengaja, tidak dibuat-buat dan telah menjadi kebiasaan. Etika terhadap diri memerlukan seseorang itu memelihara dirinya dengan baik, sama ada jasmani atau rohani. Ini termasuklah penjagaan kesihatan tubuh badan, kebersihan jiwa dan kemurnian fikiran. Dalam Islam diwajibkan penganutnya menuntut ilmu pengetahuan sebanyak mungkin tanpa dibatasi oleh masa, tempat atau bangsa. Seterusnya Islam melarang penganutnya untuk makan dan minum sesuatu yang dilarang atau memberikan kesan negatif seperti meminum minuman yang memabukkan kerana ia boleh menghilangkan sifat-sifat kemanusiaan. Perbuatan Hussin minum arak dan melanggani pelacur jelas bertentangan dengan peraturan akhlak yang dituntut oleh Islam.
Islam tidak menghalang kebebasan, tetapi setiap kebebasan mesti ada batas-batasnya. Sumbangan Islam yang penting dalam lapangan falsafah sosial adalah berhubung dengan konsep manusia mempunyai kebebasan. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang mempunyai kebebasan mutlak; manusia juga mempunyai kebebasan tetapi dalam bentuk yang nisbi (relatif). Ini bukan bererti bahawa manusia menurut perspektif Islam tidak perlu berusaha kerana segala-galanya telah ditentukan oleh Allah. Hakikatnya manusia telah diberikan kuasa dan kebebasan untuk memilih (free will) sama ada kebaikan atau keburukan.
Kebebasan memilih bermakna individu Muslim diberi kuasa untuk memilih antara dua alternatif, baik atau buruk, betul atau salah, mutlak atau nisbi. Di dunia Barat, Islam sering ditohmah sebagai agama fatalistik (agama yang berpegang bahawa segala seuatu ditentukan oleh takdir)., manakala kebebasan dan daya usaha manusia tidak memberi apa-apa sumbangan. Anggapan ini sebenarnya tidak berasas. Adakah boleh diterima akal agama yang dikatakan fatalistik seperti Islam itu dapat menundukkan separuh daripada dunia dalam masa kurang lebih 70 tahun sahaja. Oleh itu, Islam amat layak dinobatkan sebagai agama yang mempunyai ketamadunan yang energetic, progresif dan mampu merempuh setiap perubahan masa dan peristiwa.
Konsep kebebasan juga memberi skop yang sangat luas. Umpamanya manusia bebas untuk menentukan corak hidup, bebas untuk berfikir, bersuara dan bertindak, bebas dan berhak untuk mendapatkan pelajaran yang diperlukan, bebas untuk mempertahankan diri, harta dan menjaga maruah, bebas untuk mencari dan memiliki harta sebanyak yanag terdaya secara halal dan sebagainya. Dan kebebasan yang paling istimewa dihadiahkan oleh Islam adalah kebebasan untuk memilih agama yang disukai oleh seseorang. Maksud Al-Quran, “Tidak ada paksaan dalam beragama, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (2:256).
Apa yang perlu diperhatikan, kebebasan yang diberikan oleh Islam bukanlah bererti individu Muslim bebas melakukan keburukan demi keburukan dalam liku-liku perjalanan mereka menerokai kebenaran. Nilai-nilai kebaikan dan keburukan telahpun dijelaskan oleh Allah melalui wahyu-Nya. Perbuatan zina, minum arak, berbohong, dengki, khianat, angkuh, dendam, umpat dan fitnah telah jelas keburukannya dan tidak perlu lagi dicuba sebagai pengalaman.
Jika kebebasan yang diamalkan oleh seseorang individu atau sekumpulan individu menggugat ketenteraman awam, maka ulama’ bersepakat bahawa amalan tersebut perlu disekat dan dibendung. Oleh itu, batas kebebasan individu dalam perspektif akhlak Islam adalah selagi mana kebebasan tersebut tidak mencabul hak orang lain.
Ibn Miskawayh (1966) berpendapat bahawa seseorang itu berpotensi untuk merubah akhlak ataupun situasi yang berada dalam jiwa mereka. Jika akhlak seseorang tidak dapat dibentuk dan diperbaiki, maka syariah, kenabian, latihan, pendidikan, disiplin, nasihat, sekolah, universiti, undang-undang, kerajaan dan sebagainya sudah tentu akan menjadi tidak perlu dan tidak berguna lagi. Walau bagaimanapun, tambah beliau lagi, tahap pencapaian manusia dalam menerima pendidikan dan perubahan adalah berbeza. Sesetengah manusia bersikap responsif terhadap pendidikan dan perubahan menjadi baik dalam jangka masa yang singkat, sesetengah yang lain pula agak sukar dibentuk dan kekal dalam keadaan asalnya, manakala kebanyakan manusia berada di peringkat pertengahan: memiliki akhlak-akhlak yang baik dan buruk sekaligus. Tetapi jika manusia dibiarkan dalam keadaan asalnya tanpa diberi apa-apa latihan dan pendidikan, sudah tentu dia akan membesar mengikut tabiat semula jadi dan kekal berkelakuan seperti zaman kanak-kanak, seperti tamak, cemburu, pentingkan diri sendiri, suka merajuk dan lain-lain susila yang tidak baik.
Bagi Imam al-Ghazali (1976), tujuan pendidikan akhlak dalam Islam adalah untuk mengawal hal-hal kejiwaan seseorang supaya berada pada tahap sederhana. Tahap ini akan tercapai apabila nafsu (kekuatan marah dan kekuatan syahawat) tunduk akur kepada kekuatan akal dan syariah. matlamat pendidikan akhlak dalam Islam juga bukan untuk menghapuskan kekuatan-kekuatan semulajadi tersebut, sebagaimana dikatakan berlaku dalam sesetengah agama seperti Hindu dan Kristian, tetapi untuk mendidik dan mengawal nafsu. Nafsu seks contohnya, sangat diperlukan oleh manusia demi penerusan zuriat mereka di dunia. Justeru itulah, ia dibekalkan oleh Allah secara tabii. Manusia disaran supaya mendidik, mengawal serta memenuhi tuntutan nafsu seks tersebut tetapi mestilah mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam seperti melalui perkahwinan dan pembentukan institusi keluarga.
6. Etika Dalam Kehidupan
Perbuatan Orked mencampakkan beg seorang budak sekolah daripada bas sekolah adalah dengan niat untuk membalas perbuatan budak itu yang telah membuli seorang budak lain. Walaupun mempunyai niat yang baik, tetapi perbuatan tersebut tetap dianggap tidak beretika kerana boleh mengundang masalah yang berterusan apabila pemilik beg itu menyimpan dendam dan berniat untuk membalasnya kerana tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan oleh Orked tersebut. Mukhsin yang ingin meleraikan pergaduhan tersebut telah dipukul kepalanya dengan kayu. Ibu pemilik beg juga tidak puas hati dengan tindakan Orked. Mereka sekeluarga pergi ke rumah Orked untuk membuat aduan. Ibu bapa Orked bijak menyelesaikan perkara tersebut dengan pura-pura merotan anaknya di dalam bilik semasa tetamu tersebut masih ada.
Daripada peristiwa tersebut kita dapati bahawa sesuatu pertelingkahan yang berlaku boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat jika tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, etika hidup bermasyarakat perlu dijaga supaya sesuatu tindak-tanduk itu hendaklah berasaskan akal fikiran dan pertimbangan yang rasional.
Tokoh falsafah moral Islam terbilang, Ibnu Miskawayh(1966) menekankan bahawa institusi keluarga, terutama ibu bapa, dalam menjana akhlak yang mulia di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa dan keluarga bertanggungjawab untuk melatih anak-anak mereka mengamalkan ajaran syariah Islam seperti mengajar mereka menghormati kemuliaan, mencintai kebaikan, berpihak kepada kebenaran, serta mengawal mereka daripada bergaul dengan kawan-kawan yang tidak bermoral. Membudayakan kanak-kanak dengan akhlak yang mulia, menurut Ibnu Miskawayh lagi, merupakan tugas pendidikan yang sangat penting kerana ia dapat melatih mereka mencintai kebaikan dan sekaligus membesar bersama kemuliaan tersebut. Latihan berakhlak mulia juga membolehkan kanak-kanak mengawal diri mereka daripada kejahatan serta menyenangkan mereka melaksanakan suruhan agama dan mematuhi peraturan dan undang-undang setelah mereka dewasa.
Kesimpulan
Persoalan etika dan moral dalam masyarakat hari ini adalah perkara yang perlu dititikberatkan kerana nilai-nilai tersebut banyak dipengaruhi oleh budaya negatif yang mengenepikan nilai-nilai agama dan tradisi seperti mementingkan kebendaan dan budaya hedonistik. Filem Mukhsin dipilih sebagai subjek utama dalam membincangkan tentang persoalan moral dan etika masyarakat. Antara persoalan yang dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah isu percintaan kanak-kanak, kehidupan berjiran, pengaruh Barat, perhubungan suami isteri dan keruntuhan moral anak-anak muda.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam usia awal akil baligh perlu dikawal oleh golongan dewasa bagi mengelakkan berlakunya ketelanjuran. Memang tidak dapat dinafikan bahawa perasaan cinta adalah anugerah Tuhan kepada hambanya, namun ia hendaklah dikendalikan dengan baik dan dikawal menerusi pendidikan agama. Ibu bapa hendaklah mengawasi aktiviti anak-anak mereka bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Ini kerana dalam era teknologi maklumat hari ini remaja belasan tahun mudah terdedah kepada unsur-unsur negatif seperti gambar dan video lucah menerusi talian internet dan telefon mudah alih.
Langkah yang terbaik bagi membendung gejala negatif dalam masyarakat adalah melalui pendidikan. Agama Islam mempunyai ajaran yang lengkap dalam membentuk akhlak manusia kearah kebaikan di dunia dan di akhirat.

No comments: