Saturday, November 28, 2009

Majlis Graduasi


Pagi 21 Oktober 2009, bertempat di Dewan Terbuka SMK Seksyen 3, Bandar Kinrara, berlangsung Majlis Graduasi pelajar-pelajar Tingkatan Lima yang bakal meninggalkan sekolah tidak lama lagi. Dalam majlis tersebut pelajar-pelajar lengkap memakai jubah graduan dengan disaksikan oleh ibu bapa masing-masing. Tetamu khas, pegawai PPD Petaling Perdana, bersama-sama dengan pengetua dan barisan penolong kanan turut lengkap berjubah. Setiap pelajar naik ke pentas untuk menerima sijil sambil gambar mereka dirakam.
Majlis graduasi adalah satu trend baru dalam dunia persekolahan. Banyak sekolah telah mengambil inisiatif untuk menganjurkannya kerana untuk memberi penghargaan kepada semua murid tingkatan lima tanpa mengira pencapaian akademik, rekod disiplin , keaktifan dan sebagainya. Pencapaian yang diambil kira pada hari itu ialah, mereka telah berjaya mengharungi dunia persekolahan selama sebelas tahun seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Jadi, setiap orang berhak untuk meraikan kejayaan tersebut.
Majlis tersebut berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keceriaan jelas terpamer di wajah setiap “graduan”. Mereka berpakaian formal (bukan uniform sekolah), lelaki berkemeja lengan panjang dan bertai, manakala perempuan berbaju kurung dan blaus, disaluti pula dengan jubah berwarna merun. Keadaan itu menggambarkan bahawa mereka selepas ini bukan lagi seorang pelajar sekolah, tetapi seorang anggota masyarakat yang akan menentukan untung nasib mereka sendiri.

Wednesday, November 18, 2009

Gender Dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan

1.0 Pendahuluan
Dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan bahawa seorang insan perlu seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmaninya. Perseimbangan aspek-aspek ini perlu di kalangan pelajar untuk melahirkan generasi yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kesukarelaan dan ketrampilan melalui aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan. Justeru itu,melalui pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Sukan (PJS) dapat melatih pelajar mengatasi pelbagai kekangan dan rintangan serta mempunyai daya tahan, daya saing, daya suai dan daya cipta yang tinggi agar para pelajar boleh dan sanggup menghadapi cabaran pendidikan alaf baru.

Dalam membina sahsiah insan pelajar, aspek kemahiran asas, pengurusan, kepimpinan, kerjasama dan kecergasan perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Dengan pendedahan komponen ini, pengajaran dan pembelajaran PJK yang terancang, sistematik dan berkesan diharap dapat membentuk sikap pelajar yang positif serta memiliki semangat kesediaan dan kesukarelaan dalam diri mereka.

2.0 Definisi Pendidikan Jasmani dan Sukan
Menurut Pettifor (1999), Pendidikan Jasmani menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut seharusnya dapat meningkatkan pembangunan penguasaan kemahiran motor, kecergasan dan kesihatan berasaskan kesihatan, keyakinan dalam menjadi aktif dan dapat mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal. Dengan kata lain, Pendidikan Jasmani membekalkan ruang untuk membentuk kanak-kanak yang mantap secara keseluruhannya yang mengambil kira pembangunan aspek-aspek afektif, kognitif dan psikomotor. Konsep menyeluruh ini adalah selari dengan pendapat Dauer (1995) yang berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani adalah sebahagian daripada program pendidikan yang menyeluruh, yang memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembangunan keseluruhan kanak-kanak melalui pengalaman-pengalaman pergerakan.

Pendidikan Jasmani juga merupakan aktiviti fizikal yang bermatlamat pendidikan. Pendidikan Jasmani berbeza daripada bidang lain kerana ia menumpukan kepada pembangunan keseluruhan individu. Bidang Pendidikan Jasmani memberi perhatian kepada kualiti fizikal, mental dan emosi. Ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menegaskan elemen JERI (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dalam membangun potensi seseorang individu.
Antara objektif Pendidikan Jasmani ialah:
o Mempertingkat dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor;
o Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri;
o Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian;
o Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal;
o Membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan
o Membentuk keputusan bijak dalam hidup.

Menurut Snyder & Spreitzer (1989), sukan adalah pertandingan aktiviti fizikal manusia yang dikawal oleh peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Angela Lumpkin (2002) pula mengatakan sukan adalah aktiviti fizikal yang dikawal dengan peraturan dan undang-undang yang formal atau tidak formal membabitkan pertandingan secara individu atau berpasukan untuk mendapatkan keseronokan dan rekreasi. Vander Swaag (1988) pula berpendapat Sukan adalah aktiviti fizikal berbentuk pertandingan yang menggunakan peralatan dan kemudahan khusus dengan dimensi yang unik berkaitan masa dan ruang. Oleh itu, sukan boleh disimpulkan sebagai satu proses yang melibatkan aktiviti fizikal yang ditentukan oleh peraturan formal atau tidak formal yanag melibatkan pertandingan antara individu atau pasukan dengan pihak lawan untuk tujuan keseronokan, rekreasi dan pengiktirafan.

3.0 Sukan dalam Akta dan Dasar Pendidikan
Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang ditubuhkan pada 1974 telah menyatakan bahawa: ”Sukan dimestikan di semua sekolah.” Laporan tersebut juga merestui pengwujudan dan peranan Majlis Sukan Sekolah-sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. laporan tersebut menegaskan:
Sukan merupakan satu saluran yang berkesan untuk menanamkan semangat kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan di kalangan murid di negara ini (185).

Sukan penting untuk kesihatan dan perkembangan jasmani, rohani dan kesihatan murid-murid (186).

Untuk memastikan supaya sukan dan olahraga dapat mencapai matlamat yang ditentukan, Laporan Jawatankuasa Kabinet telah membuat perakuan berikut:
Sekolah-sekolah hendaklah mengadakan senaman beramai-ramai yang melibatkan penyertaan semua murid. Pertandingan senaman beramai-beramai antara pasukan-pasukan di sesebuah sekolah dan antara sekolah-sekolah hendaklah dijalankan (187.1.a).

Permainan-permainan di sekolah seberapaa yang boleh hendaklah melibatkana penyertaan murid yang ramai seperti dalam perlumbaan merentas desa, jalan kaki dana sebagainya. Di samping itu, mereka yang hendak diberikan latihan atau kemahiran peringkat tinggi hendaklah dilayani juga (187.1.b).
Kegiatan sukan dan olahraga di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan hendaklah terus dipergiatkan supaya matlamat perpaduan antara murid-murid berbilang kaum dan lapisan masyarakat dapat dicapai (187.1.c)

Pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil maklum dan mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan perakuan yang telah dikemukakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut seperti mengeluarkan arahan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1979 mengenai Pendidikan Jasmani dan Ujian Daya Tenaga Asas, Bil.10/1998 mengenai senaman beramai-ramai dan Bil.1/1989 mengenai penyertaan pelajar dalam kegiatan sukan di sekolah.

Bertitik tolak daripada matlamat Dasar Pelajaran Kebangsaan, perakuan Laporan Jawataankuasa kabinet dan Falsafah Pendidikan Negara, objektif pembangunan sukan di institusi pendidikan, khususnya di sekolah-sekolah ialah, penyediaan seluas-luas peluang untuk pelajar untuk pelajar menyertai sukan secara aktif dan mendapat keseronokan daripada aktiviti sukan, dan bagi mereka yang berbakat, untuk mencapai prestasi dan potensi setinggi mungkin dalama bidang sukana yang diminati. Objektif ini selaras dengan matlamat Dasar Sukan Negara, iaitu ”Sukan Berprestasi Tinggi dan ”Sukan untuk Semua” serta menuju ke arah pencapaian hasrat falsafah pendidikan Negara.

4.0 Gender dan Sukan
Terdapat banyak perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi rupa, bentuk badan, pakaian, tabiat kehidupan, peranan dalam masyarakat, kerjaya dan lain-lain lagi. Mungkin kekurangan maklumat dan kesedaran tentang perbezaan antara lelaki dengan wanita, maka wanita diajar, diasuh dan dilatih dalam bidang sukan dengan cara persediaan yang dilakukan oleh kaum lelaki. Adakah ini wajar? Untuk menghayati ataupun meningkatkan lagi prestasi atlet wanita, kita perlu mengkaji perbezaan ini daripada beberapa aspek penting.

Kita mestilah sedar bahawa terdapat perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi fizikal seperti rupa, tubuh dan rangka tulang serta dari segi fisiologi seperti fungsi khas wanita untuk melahirkan anak, yang merupakan fungsi semula jadi dan tidak boleh diubah, tetapi kita boleh menyesuaikannya. Selain itu, terdapat juga perbezaan yang berpunca dari segi sosial, iaitu kaum wanita sering diasuh supaya berperangai lemah lembut dan dilatih dari kecil untuk mengambil tugas suri rumah tangga. Umumnya, pendedahan wanita kepada sukan dan aktiviti sukan adalah lebih rendah berbanding lelaki.

Dari segi fizikal, keupayaan individu daripada kedua-dua jantina adalah lebih kurang sama sahaja sebelum akil baligh. Sebaik sahaja mereka melangkah ke alam remaja, pertumbuhan dan perbezaan jantina menjadi semakin nyata. Dari segi sosial seringkali wanita remaja terpaksa mengambil alih peranan dan tugas seorang wanita dewasa. Akibatnya, kecergasan mereka merosot dan kekuatan otot akan menurun. Ini merupakan salah satu sebab mengapa prestasi sukan wanita remaja secara puratanya adalah jauh lebih rendah berbanding prestasi kaum lelaki.

4.1 Perbezaan Rangka Tubuh
Secara purata, rangka lelaki adalah 10 peratus lebih tinggi daripada wanita. Dari segi berat tubuh orang dewasa, lelaki lebih berat lebih kurang 11 kg. Ini disebabkan oleh perbezaan struktur tulang lelaki yang lebih besar dan juga dari segi otot yang lebih pada tubuh lelaki. Dari segi rupa bentuk tubuh, lelaki adalah lebih besar. Tulang-tulangnya lebih berat. Tulang-tulang tangan, kaki lelaki juga lebih panjang dan sendi-sendinya lebih besar kecuali sendi lutut wanita yang lebih lebar. ini memberikan kestabilan kepada tubuh wanita. Pelvik girdle yang lebih lebar menyebabkan lutut wanita membengkok ke dalam. Akibatnya tapak dirian wanita lebih sempit.

Walau bagaimanapun, wanita mempunyai kelebihana dari segi saiz tubuh yang lebih kecil dan lebih rendah. Ini ada kaitannya dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah dan tumpuan berat adalah di bahagian bawah tubuh. Dengan itu, wanita pada keseluruhannya mempunyai kestabilan yang lebih baik.
Wanita berjalan dengan cara dan gaya yang istimewa yang sedikit berlainan dengan lelaki. Begitu juga dengan gaya larian wanita adalah berbeza dengan gaya larian lelaki. Bandingkan pula dengan perbezaan saiz dan bentuk pelvis dan tulang femur wanita adalah lebih tirus. Ini menyebabkan tulang kaki wanita membengkok ke dalam dan sedikit sebanayak menjadi halangan kepada prestasi berlari.

Apabila dewasa lelaki akana mempunyai bahagian tubuh atas yang lebih besar dan lebar, sementara wanita akan mempunyai bahagian abdomen yang lebih besar. Selain itu, kaki lelaki juga lebih panjang dan tapak kakinya juga lebih lebar. Begitu juga dengan tangan lelaki yang lebih panjang. Pada amnya, prestasi sukan wanita lebih rendah dan besar kemungkinan adalah disebabkan perbezaan tersebut di atas.

Salah satu kesan perbezaan fizikal ini ialah wanita berkemungkinan banyak mengalami masalah lutut semasa berlari, melompat serta menukar arah dengan tiba-tiba. Mereka juga mungkin akan menghadapi masalah semasa bermain badminton, tenis, bola jaring dan sukan lain yang memerlukan penukaran arah pergerakan dengan tiba-tiba.
Dari segi rupa bentuk tubuh pula, pada amnya wanita adalah lebih mirip kepada bentuk endomorf (kegemukan) dan lelaki pula kepada bentuk mesomorf (tubuh yang lebih berotot). Rupa bentuk model atau bintang-bintang filem bukanlah bentuk wanita yang ’normal’, tetapi mungkin diterima sebagai rupa bentuk yang ideal. Pada amnya lelaki dan wanita yang aktif dan berjaya dalam sukan lebih cenderung kepada bentuk mesomorf.

Berikut adalah suatu rumusan am ciri-ciri wanita berbanding lelaki serta inplikasinya terhadap prestasi sukan.

4.2 Faktor Fizikal
o Wanita memiliki rangka yang lebih kecil dan pendek, pusat graviti 2.3 cm lebih rendah dan lebih berat di bahagian bawah tubuh, terutama di bahagian punggung. memandangkan hakikat ini, wanita adalah lebih sesuai untuk sukan yang mementingkan pusat graviti yang rendah serta imbangan seperti gimnastik. Setakat ini, pengaruh faktor fizikal ke atas prestasi lompat tinggi dan lompat pagar belum dapat dikesan, tetapi pusat graviti yang lebih rendah bermaksud wanita tidak akan dapat bersaing dengan lelaki dalam acara lompat tinggi. Tetapi kita perlu ingat bahawa sebelum akil baligh, tubuh lelaki dan permpuan adalah lebih kurang sama. Apabila dewasa, ukuran purata lelaki adalah 12.7 cm lebih tinggi. Ini memberikan lelaki suatu kelebihan yang nyata dalam sukan seperti renang.
o Pelvis wanita adalah lebih lebar dan sudut sendinya dengan tulang kaki adalah lebih besar. Putaran di bahagian punggung adalah lebih nyata pada tubuh wanita dan ini bermaksud mekanik serta teknik berjalan, berlari dan bergerak secara am adalah berlainan berbanding dengan kaum lelaki.
o Tangan wanita adalah lebih pendek dan bersudut keluar dari tubuh di bahagian siku untuk mengelak pelvis yang lebih luas. Tangana yang pendek akan menghasilkan daya tuil yang kurang berkesan, sendi pada siku wanita yang bersudut juga bermaksud teknik menggunakan alatan seperti raket badminton adalah berlainan daripada kaum lelaki. Pernahkan anda terfikir mengapa pada amnya lelaki boleh melontar dan membaling dengan lebih tepat berbanding wanita? Ini adalah kerana lelaki mempunyai tangan yang lebih lurus dan oleh itu mempunyi fungsi tuas yang lebih cekap.
o Bahu wanita lebih sempit tetapi lebih bulat. Ini mengurangkan daya kuasa yang boleh dihasilkan oleh bahagian atas tubuh. Tetap ia juga membolehkan perenang wanita berenang dengan lebih mudah lagi kerana bentuk badan yang lebih aerodinamik mengurangkan rintangan air. Bagaimanapun wanita masih tidak dapat menandingi lelaki kerana otot lelaki jauh lebih kuat.
o Lebih banyak peratusan lemak dalam tubuh. Ini membolehkan wanita menghadapi keadaan suhu sejuk dengan lebih baik, terutama semasa berenang jarak jauh di laut. Simpanan lemak yang banyak membolehkan wanita memiliki sumber tenaga yang lebih besar untuk membantu mereka dalam acara jarak jauh sama ada berenang atau berlari. tidak haiaranlah jika wanita pada amnya mempunyai daya tahan yang lebih baik. selain itu, simpanan lemak dalam tubuh juga membolehkan mereka terapung dengan lebih mudah. Secara puratanya wanita mempunyai dua kali ganda peratusan lemak (daripada jumlah berat tubuh) berbanding lelaki. Perenang maraton terekenal negara, Datuk Abdul Malik Maidin berjaya berenang merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003 kerana tubuhnya boleh terapung dengan begitu baik dengan mengawal kandungan lemak di dalam badannya. Kejayaan beliau bagaimanapun bukanlah kerana kandungaan lemak tubuh yang tinggi semata-mata, tetapi juga disebabkan oleh keupayaan otot-ototnya menghasilkan daya yang kuat serta memiliki teknik renang yang sempurna.
o Wanita mempunyai kelenturan yang lebih baik. Ini adalah kemahiran fizikal yang berguna dalam sukan gimnastik. Tubuh wanita mengeluarkan lebih hormon relaxin berbanding lelaki. Semasa melahirkan anak, hormon relaxin membolehkan sendi dan otot mereka melentur dengan lebih baik. Oleh itu kaum lelaki akan sentiasa kalah sekiranya mereka cuba membandingkan tahap kelenturan mereka dengan kaum wania ketika membuat latihan yang sama.
o Kurang kuat berbanding dengan lelaki yang mempunyai saiz yang sama. Ini merupakan satu kekurangan yang menjadikan wanita kurang berkesan dalam acara yang memerlukan kekuatan. Sungguhpun wanita boleh melakukan latihan bebanan untuk menambahkan kekuatan, namun tahap yang dicapai tidak boleh menandingi seorang lelaki yang bersaiz sama dengannya. Ini kerana secara semulajadi tubuh wanita mempunyai banyak lemak, sementara lelaki mempunyai lebih banyak otot. Wanita juga tidak boleh mencapai rupa bentuk yang berotot kenyal seperti lelaki. Suatu perkembangan 30 peratus dari segi kekuatan Cuma menambahkan lilitan otot sebanyak 5 peratus sahaja pada tubuh wanita. Pada amnya kekuatan bahagian atas tubuh waniata adalah 40 peratus, kurang berbanding lelaki, sementara kekuatan bahagian tubuh bawah adalah 25 peratus kurang berbanding lelaki yang mempunyai saiz tubuh yang sama. Walau bagaimanapun, wanaita boleh menggunakan manfaat latihan bebanan untuk mempertingkatkan prestasi di samping mengurangkan kemungkinan berlakunya kecederaan. Ini kerana perbezaan kekuatan anatara jantina adalah disebabkan oleh jumlah otot serta saiz serabut otot yang lebih kecil dalam tubuh wanita.

4.3 Saiz dan Kualiti Otot
Memandangkan kekuatan adalah berkadar terus dengan luas keratan lintang dan saiz otot, maka saiz otot lelaki yang lebih besar adalah suatu kelebihan yang penting. Pada amnya, kekuatan wanita adalah dua per tiga lebih rendah berbanding tahap kekuatan lelaki. Punca perbezaan ini ialah hormon pertumbuhan testoteron yang lebih dalam tubuh lelaki. Oleh itu, ramai atlet wanita yang ingin mencapai tahap kekuatan yang lebih tinggi menggunakan steroid dan juga testoteron tiruan (bahan-bahan yang diharamkan oleh persatuan sukan antarabangsa). Tujuannya untuk membantu pertumbuhan otot dan justeru itu membantu mempertingkatkan prestasi sukan mereka. Tetapi, ini mungkin mengakibatkan penukaran bentuk tubuh mereka yang berkekalan serta mempunyai beberapa kesan sampingan. Umpamanya, ada antara atlet wanita yang mendapati suara mereka menjadi lebih kasar dan mula berjanggut dan bermisai. Kesan sampingan ini boleh berlanjutan sehingga dua tahun ataupun lebih selepas mereka berhenti mengambil steroid berkenaan.

Menurut kajian, tidak terdapat perbezaan antara taburan serabut otot yang sesuai untuk kerja yang berat dan pantas seperti berlari 100 meter ataupun melontar peluru dengan serabut otot yang sesuai untuk kerja yang memerlukan daya tahan, umpamanya berlari jarak jauh pada kadar perlahan pada wanita dan lelaki. Harus ingat bahawa tanpa kehadiran hormon pertumbuhan testosteron yang banyak, saiz serabut otot wanita tidak akan menandingi perkembangan saiz otot pada seorang lelaki sekiranya latihana yang sama dilakukan. Walau bagaimanapun hasil kajian terkini menunjukkan bahawa saiz serabut otot kaki pelumba basikal wanita yang berlatih adalah lebih besar berbanding dengan saiz otot lelaki atau wanita yang tidak berlatih.

4.4 Keupayaan Berlatih dan Menahan Sakit
Keupayaan wanita untuk berlatih adalah lebih kurang sama dengan lelaki. Tidak banyak perbezaan antara seorang wanita dengan seorang lelaki yang tidak berlatih. Hal ini kerana kebanyakan wanita tidak begitu aktif bersukan disebabkan mitos ataupun kepercayaaan karut tentang senamaan dan wanita. Umpamanya kepercayaan bahawa senaman akan mengakibatkan kehilangan sifat kewanitaan.

Sebenarnya latihan bebanan boleh menambahkan kekuatan dan saiz otot. Dengan adanya latihan, kandungan lemak dalam tubuh akan kian mengurang, manakala otot tanpa lemak akan bertambah. Atlet wanita dalam sukan yang bersifat daya tahan (endurance) seperti lari jarak jauh mempunyai kadar lemak tubuh yang jauh lebih rendah berbanding dengan atlet lelaki dalam sukan yang mementingkan daya kuasa, seperti lari pecut 100 meter, lompat tinggi dan lontar peluru.

Memandangkan wanita perlu menahan tahap kesakitan yang tinggi apabila melahirkan anak, maka mereka dengan secara semulajadi berkemampuan menahan kesakitan. Ini bermaksud mereka boleh melakukan beban kerja yang lebih tinggi tanpa rungutan. Wanita juga berkecenderungan untuk menggunakan beban latihan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan kecederaan. Semasa bersenam, wanita tidak banyak mengeluarkan asid laktik. Asid inilah yang menyebabkan kita berasa pedih pada otot-otot dan memaksa kita menghentikan senaman. Tanpa pengeluaran asid laktik yang banyak, wanita boleh bersenam dalam tempoh yang lebih panjang. Mereka lebih sesuai melibatkan diri dalam sukan yang memerlukan daya tahan. Di samping itu, wanita juga tidak begitu cenderung mengalami kekejangan otot.

4.5 Faktor Fisiologi
Dari segi tindak balas kepada senaman, tidak ada perbezaan yang diperhatikan antara lelaki dengan wanita. Mereka sanggup menjalani latihan yang berat tanpa menunjukkan kesan sampingan yang buruk. Wanita juga sanggup bersaing dengan lelaki di arena sukan dan diramalkan bahawa prestasi sukan wanita akan menandingi prestasi lelaki dalam beberapa sukan tertentu menjelang dekad kedua abad ke-21.

Lelaki mempunyai lebih kurang 1000ml (1.0 liter) lebih banyak darah dalam tubuh mereka berbanding dengan wanita yang sama saiz. Jumlah hemoglobin dalam darah lelaki juga lebih banyak, iaitu 15.8 g/liter, berbanding dengan 13.9 g/liter bagi wanita. Oleh itu darah lelaki membawa dan membekalkan lebih banyak oksigen berbanding wanita.

Saiz jantung dan isi padu darah yang dapat diedarkan oleh sistem kardiovaskular serta kapasiti paru-paru wanita adalah 10 peratus lebih kecil berbanding lelaki. Sistem kardiovaskular ialah sistem edaran darah tubuh yang terdiri daripada jantung, paru-paru, ateri, vena dan kapilari darah. Saiz jantung kita lebih kurang saiz genggaman tangan. jantung kita adalah seperti enjin kereta. Enjin kereta yang kecil dalam badan keretaa yang kecil adalah sama kelajuannya dengan enjin besar dalam badan yang besar. Tetapi enjin yang kecil dalam badan kereta yang besar akan menghadapi masalah bebanan.

Di samping itu, nadi rehat seorang wanita lebih tinggi daripada lelaki. Walau bagaimanapun kadar denyutan jantung maksimum bagi lelaki dan wanita adalah sama dan ditentukan oleh umur.

4.6 Haid dan Kehamilan
Wanita yang mengalami haid masih boleh berlatih. Paras kesakitan yang dialami oleh wanita pada ketika itu dapat dikurangkan dengan amalan senaman. Wanita yang hamil juga boleh berlatih, tetapi beban senaman hendaklah dikurangkan. Suhu tubuh harus diawasi supaya anak dalam kandungan tidak terdedah kepada suhu yang berlebihan akibat latihan yang terlalu berat.

Atlet wanita yang mempunyai peratusan lemak tubuh yang rendah akan mengalami masalah kitaran haid, iaitu kurang dua atau tiga kali setahun. Atlet gimnastik dan pelari jarak jauh berpotensi mengalami masalah seperti ini. Wanita perlu memahami hakikat itu dengan baik untuk mengelakkan masalah tekanan psikologi. Walau bagaimanapun tidak terdapat bukti yang menyatakan bahawa hal ini akan berkekalan ataupun membawa kesan yang buruk. Apabila berat tubuh meningkat dan peratusan lemak naik ke paras normal, atlet berkenaan akan pulih seperti sediakala. Kita sering mendengar atau membaca berita tentang pemain wanita yanag handal secara tidak sangka menerima kekalahan teruk ke atas pemain yang bertaraf jauh lebih rendah. Pihak tertentu sering kali menyatakan bahawa kekalahan seperti itu berpunca daripada kedatangan haid. tetapi kini sudah ada cara mengawal kedatangan haid supaya sesuai dengan keperluan jadual pertandingan, umpamanya dengan menggunakan pil pencegah hamil. Jurulatih lelaki hendaklah sentiasa peka kepada masalah ini. Mereka juga sewajarnya sedar bahawa ada atlet wanita yang sanggup berlatih atau bertanding semasa datang haid. Walau bagaimanapun nasihat doktor diperlukan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan.

Tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa wanita yang hamil tidak boleh bersukan, cuma mereka tidak digalakkan bersukan terlalu aktif dalam tempoh bulan pertama hingga bulan keempat. Sukan yang berbahaya seperti menunggang kuda dan mendaki gunung tidak digalakkan sama sekali. Berjalan dan berjoging adalah senaman yang lebih selamat dan bermanfaat untuk dipraktiskan.

4.7 Pemakanan dan Kecederaan
Atlet wanita memerlukan lebih banyak zat besi kerana zat tersebut banyak hilang semasa haid. Latihan fizikal yang berat juga menyebabkan kehilangan zat ini. Kehilangan tersebut perlu digantikan kerana zat itu penting untuk pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah yang membawa oksigen kepada otot yang berfungsi. Atlet wanita juga memerlukan zat kalsium yang diperlukan untuk membentuk tulang yang kuat. Yang perlu diamalkan oleh wanita ialah minum susu lembu dan makan makanan seperti tauhu dan keju. Di samping itu, wanita juga memerlukan lebih banyak vitamin B12 yang membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.

Semasa hamil, ramai wanita akan mengalami kekurangan zat tertentu kerana anak dalam kandungan akan mengambil apa sahaja zat sebagaimana yang diperlukan oleh ibunya. Kerana itu, wanita hamil kadang kala mengidam makanan yang ganjil. Ini sebenarnya adalah petanda bahawa mereka memerlukan makanan yang mengandungi zat tertentu.
Dari segi kecederaan pula, tiada perbezaan yang dapat dikesan dari segi kekerapan berlakunya kecederaan antara lelaki dan wanita kecuali kecederaan di bahagian lutut. Sendi tulang paha di bahagian lutut wanita tercondong keluar pada posisi lutut. Sebaliknya wanita mempunyai lebih banyak hormon relaxin, ini menyebabkan mereka jarang menghadapi kecederaan yang disebabkan oleh kekurangana kelenturan.


5.0 Perbandingan Gender Dalam Penyertaan Sukan
Cabaran yang sangat besar kepada penyelidikan dan jurulatih sukan adalah untuk mengkaji dan mengenal pasti perbezaan antara jantina kerana ia merupakan sesuatu yang kompleks dalam tingkah laku sosial dan mempunyai pelbagai fenomena dalam pengaruh dan tingkah laku latihan sukan antara lelaki dan wanita. Kajian dalam membezakan tingkah laku latihan sukan antara lelaki dan wanita ini telah dijalankan oleh Dewar dan Horn (1992), di mana lelaki dikatakan lebih cenderung dan kuat berbanding wanita dalam aktiviti kesukanan tetapi sama ada ia diakibatkan oleh perbezaan biologikal, persekitaran dan peranan budaya sehingga penonjolan lelaki lebih nyata daripada wanita dalam masyarakat, masih belum diketahui. Kebanyakan penyelidikan tentang jantina memfokuskan tentang bagaimana sukan dan prestasi latihan serta pengalaman di kalangan wanita adalah berbeza daripada lelaki.

Dalam kajian yang dibuat oleh Cox (1994) menyatakan wanita mempunyai perasaan malu dalam penyertaan sukan yang tidak sesuai dengan peranan jantina mereka. Selain itu atlet wanita juga dikatakan akan berasa selesa dalam permainan sukan seperti tenis dan bola tampar, dan akan berasa lebih terancam dalam sukan seperti gusti dan bola sepak yang dianggap melanggar peranan stereotaip seks mereka (Peplau, 1976). Manakala menurut teng, Ang dan Mohd Sofian (2001) pula terdapat perbezaan individu yang ketara apabila faktor jantina diperluaskan atau dikaji. Perbezaan individu dikaji bukan sahaja tentang seks, ras dan budaya hidup tetapi juga dari segi perlakuan dan tingkah laku.

Wanita dikatakan suka kepada benda-benda cantik dan kecantikan adalah suatu aspek yang penting dalam kehidupan seorang wanita. Kecantikan bentuk dan berat badan mereka boleh diperoleh melalui penyertaan aktiviti sukan dan ini adalah galakan kepada wanita untuk menceburkan diri dalam sukan. Keyakinan diri mereka juga timbul dengan kesedaran akan kecantikan mereka dan sifat-sifat positif yang lain juga akan turut wujud dengan penglibatan wanita dalam bidang sukan. Berbanding dengan wanita menurut teori psikoanalitik, lelaki merupakan insan yang kuat dan mempunyai hasrat dalaman yang tidak disedari dan digambarkan sebagai perjalanan hidup dan perasaan mereka. Penyertaan lelaki dalam sukan akan melihatkan kejayaan hidup mereka dengan meningkatnya prestasi, berkeyakinan dan berpendirian.

Menurut Martens (1978) proses perubahan tingkah laku dan perbandingan prestasi individu boleh dikenal pasti berdasarkan pada kriteria tertentu seperti adanya kehadiran individu lain sebagai penilai dan meningkatnya tret kebimbangan bagi dimensi personaliti. Sebagai contoh, jika atlet dikehendaki melakukan dua aktiviti iaitu imbangan statik dan ketepatan menembak ketika kehadiran penonton dan dalam situasi yang kompetitif. Dapatan mungkin menunjukkan subjek bagi acara imbangan yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi menampakkan pencapaian yang rendah tanpa mengira jantina, manakala dalam ketepatan menembak, subjek wanita yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi memperoleh pencapaian yang rendah berbanding dengan subjek lelaki.

Tingkah laku juga ditentukan oleh kemudahan serta-merta dan faktor persekitaran, dan teori ini boleh dikaitkan dalam kajian yang dijalankan oleh Masters, Ogles dan Jolton (1993) bagi menunjukkan perbezaan jantina dalam penyertaan perlumbaan pelbagai jarak. Seramai 42 orang pelari jarak jauh dan 47 orang pelari rekreasi telah diuji dengan menggunakan the Motivations of Marathoners Scales (Masters, Ogles dan Jolton,1993). Dapatan kajian menunjukkan dalam perlumbaan jarak sederhana menampakkan nisbah penyertaan yang tinggi daripada pelari wanita rekreasi berbanding pelari wanita jarak jauh yang lebih menyokong berkaitan berat badan, penggabungan, pengiktirafan diri, keupayaan psikologikal dan kehidupan merupakan motif penting untuk berlumba berbanding dengan atlit lelaki bagi kumpulan yang sama.

Kumpulan pelari jarak jauh bertingkah laku mengenal pasti kebolehan berlari berbanding pelari rekreasi yang berlari untuk keseronokan. Kumpulan lelaki adalah secara langsung dikenal pasti sebagai pelari tetap yang berkriteria untuk mencapai kejayaan dan mereka terlibat dengan motif pencapaian matlamat pertandingan dan lebih menitikberatkan latihan. Wanita juga dikatakan tidak mempunyai ketahanan, kekuatan dan kecergasan sebagaimana yang dimiliki oleh ahli-ahli sukan lelaki. Dalam perkara ini, tiada bukti perubatan yang menunjukkan bahawa acara sukan yang memerlukan ketahanan diri dan kecergasan itu tidak baik bagi kesihatan dan atlit yang terlatih. Wanita mempunyai ketahanan diri yang lebih baik berbanding lelaki disebabkan mereka mempunyai peratus lemak di bawah kulit badan yang berlebihan.

Tingkah laku yang diharapkan juga terbentuk melalui pengaruh psikologi sosial yang ditegaskan lagi melalui kajian yang dijalankan oleh Hull, Miller dan Dollard yang menggunakan teori tingkah laku sebagai suatu hasil yang menunjukkan perubahan sikap melalui faktor-faktor seperti motivasi sosial, pembelajaran sosial dan ganjaran hukuman. Proses sosialisasi sukan juga mempengaruhi perbezaan jantina di kalangan atlit dalam penyertaan sukan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Durentini dan Lander (1987) dalam abstraknya yang mengkaji perbezaan jantina dalam proses sosialisasi sukan di kalangan atlit sekolah tinggi telah menguji penglibatan sukan adakah signifikan antara struktur peringkat permulaan sekolah atau peringkat menengah dan apakah sumber motivasi di peringkat permulaan sekolah akan menyebabkan penglibatan atlit dan penyertaan berterusan dalam sukan.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa lebih ramai atlit wanita daripada lelaki menyertai sukan sebagai keseronokan bersukan, di mana ini menunjukkan bahawa dengan menyertai aktiviti sukan mereka dapat membuat pilihan sama ada untuk bertingkah laku keseronokan atau prestasi sukan. Manakala atlit lelaki pula menyatakan penyertaan berkawan dalam aktiviti rekreasi fizikal adalah sejak dari kecil dan atas dorongan ibu bapa sebagai motivasi utama dalam permulaan penyertaan atau penglibatan sukan mereka. Selain daripada itu, terdapat atlit wanita yang melaporkan bahawa penglibatan awal mereka dalam sukan adalah melalui motivasi diri. Ini boleh disimpulkan bahawa faktor motivasi juga penting dalam mengubah tingkah laku seseorang untuk menyertai sukan. Kesimpulan daripada kajian ini mendapati bahawa faktor motivasi adalah diperlukan bagi meningkatkan tingkah laku atlit dalam persediaan diri untuk belajar, bagi perkembangan dan kematangan seseorang dapat mengawal emosi dan sikap atlit semasa bertanding atau berlatih dan dapat meningkatkan keupayaan diri.

Faktor tret kebimbangan juga memainkan peranan penting dalam menentukan tingkah laku dalam penyertaan sukan di mana atlit individu menonjolkan tret tahap kebimbangan yang lebih tinggi daripada sukan berpasukan. Ini kerana bagi atlet sukan individu, bertanding secara bersaorangan dan perasaan takut mengalami kekalahan adalah ditanggung sendiri.

Dari segi jantina, adalah didapati bahawa atlit wanita adalah lebih tinggi tahap kebimbangannya berbanding lelaki. Didapati juga peluang kaum wanita untuk menceburi dalam pertandingan dan pendedahan wanita kepada situasi mencabar adalah kurang jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Oleh itu kaum wanita selalu menonjolkan tahap tret kebimbangaan yang lebih tinggi daripada kaum lelaki. Dalam kajian yang dijalankan oleh Jones, Swain dan Cale (1991) terhadap peranan sokongan jantina dan melibatkan pertandingan menampakkan lagi tahap kebimbangan lebih signifikan berbanding jantina.

Menurut Bird (1973), terdapat dua ciri tentang wanita, pertama; mereka tidak mempunyai keinginan dan kehendak yang tinggi untuk mencapai matlamat dan kedua; motivasi pencapaian terbentuk hasil daripada latihan awal dan tahap itu akan terus kekal. Kenyataan ini sudah tidak sesuai pada masa kini kerana atlit wanita sekarang tidak lagi mudah berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh dan mereka akan sentiasa mencuba memperbaikinya dari masa ke masa. Wanita kini telah dapat melepaskan diri mereka daripada ikatan sosial, politik, perundangan dan hukum adat.

6.0 Kesimpulan
Semasa Sukan Olimpik purba, wanita tidak dibenarkan mengambil bahagian dan juga tidak boleh menyaksikan lelaki bertanding. Ini bermakna sejarah penyertaan wanita dalam sukan jauh lebih pendek dan penyelidikan tentang kemampuan tubuh wanita masih belum lagi memadai untuk membolehkan kita memahaminya dengan sempurna. Walau bagaimanapun penyertaan wanita kini tidak dipersoalkan lagi dan sudah menjadi kenyataan bahawa banyak perkembangan telah dicapai kebelakangan ini. Kita pasti dapat melihat peningkatan prestasi atlet wanita pada masa akan datang hasil usaha fizikal dana mental yang berlipat ganda dan penemuan baru tentang latihan akhas untuk mempertingkatkan lagi prestasi wanita dalam arena sukan.

Perbezaan fizikal yang ketara pada tubuh wanita berbanding lelaki akan mempengaruhi penglibatan mereka dalam sukan. Memahami perbezaan ini memberi panduan umum kepada kaum wanita, khususnya menjalani latihan sukan sama ada untuk pertandingan, berekreasi atau untuk aktiviti kecergasan. Individu wanita akan mendapat faedah yang maksimum semasa latihan dan pertandingan selagi mereka melihat perbezaan pada tubuh mereka berbanding lelaki sebagai satu kelebihan dan keistimewaan.

Etika dalam Filem Mukhsin

Pendahuluan
Filem adalah satu bentuk karya seni yang memaparkan jiwa dan pemikiran sang pengarah kepada khalayak. Seperti seorang novelis yang mengungkapkan cantuman aksara dan frasa, sang pengarah mencantumkan imej yang terpancar dari rakaman, kemudian digaul menjadi sebuah realiti baru. Yasmin Ahmad dianggap seorang pengarah yang menghasilkan filem-filem yang berbeza jika dibandingkan dengan pengarah-pengarah Malaysia yang lain. Semasa hayatnya, Yasmin hanya sempat mengarah lima buah filem sahaja, iaitu Sepet, Gubra, Mukhsin, Mualaf, dan yang terakhir Talentime. Beliau telah meninggal dunia pada 25 Julai 2009 yang lalu.
Hampir semua filem Yasmin Ahmad memaparkan hubungan antara kaum yang digambarkan secara amat jujur. Filem pertama, Sepet misalnya, mengisahkan tentang percintaan antara seorang gadis Melayu dengan seorang pemuda keturunan Cina yang menjadi penjual VCD haram. Persoalan yang dikemukakan tersebut telah mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan masyarakat kerana perhubungan tersebut dianggap telah melanggar tatasusila, adat dan budaya Melayu. Namun, Yasmin tetap dengan pendirian beliau untuk meneruskan kesinambungan filem-filem kontroversi beliau menerusi filem Gubra dan Mualaf.
Menurut Ku Seman Ku Hussain (2009), “Yasmin menggaulkan keharmonian pelbagai kaum secara realistik dan kita dapat menerimanya sebagai suatu yang seharusnya terjadi atau yang benar-benar berlaku.”
Dengan kata lain, kejujuran Yasmin Ahmad dalam menggambarkan realiti masyarakat Malaysia telah menarik minat penulis untuk memilih filem ke-3 beliau iaitu MUKHSIN sebagai bahan kajian. Mukhsin, berbeza dengan filem-filem sebelumnya telah memilih percintaan kanak-kanak sebagai subjek utama. Berdasarkan ungkapan rasmi dalam filem ini, “setiap insan mesti mempunyai cerita mereka tersendiri tentang cinta pertama mereka.”
Filem ini mengisahkan kisah cinta Mukhsin dan Orked yang masing-masing berumur 12 dan 10 tahun. Mereka dipertemukan pada waktu cuti sekolah, semasa mereka bersama-sama kanak-kanak lain bermain ‘galah panjang’ di perkarangan rumah. Orked, tidak seperti kanak-kanak perempuan lain, lebih lasak dan suka bermain seperti lelaki. Kehadiran Mukhsin, yang tinggal di rumah emak saudaranya, Makcik Senah semasa musim cuti sekolah telah membibitkan sebuah persahabatan. Sejak hari itu mereka berdua sering menghabiskan masa bersama di sekitar kampung. Sebagai kanak-kanak yang meningkat remaja, Mukhsin mula menyimpan rasa terhadap Orked, menyebabkan wujud permasalahan antara mereka, dan bagaimana perasaan cinta tersebut akhirnya merosakkan sebuah persahabatan. Bagaimanapun ketika itu, Orked terlalu mentah untuk bercinta, manakala Mukhsin pula sedang melalui zaman peralihan akil baligh.
Tema percintaan zaman kanak-kanak ini menjadi subjek yang menarik untuk dibincangkan dari sudut moral dan etika kerana filem ini banyak memaparkan adegan-adegan hubungan antara Mukhsin dan Orked yang dianggap melanggar nilai-nilai agama dan adat ketimuran seperti berdua-duaan di tempat sunyi, berpegang tangan, keintiman sewaktu Orked duduk membonceng di palang basikal dan banyak lagi isu yang boleh dipersoalkan dari sudut etika dan moral. Kerelaan segelintir orang dewasa yang diwakili oleh ibu bapa Orked dan makcik Mukhsin tentang perhubungan intim kedua-dua kanak-kanak ini juga boleh dipersoalkan. Selain itu, persoalan-persoalan sampingan seperti hubungan kejiranan, hubungan suami isteri, amalan hidup kebaratan, pelacuran, keruntuhan moral anak-anak muda juga turut disentuh dalam filem ini.
Konsep Etika dan Moral
Menurut Kamus Dewan(Edisi ke-4, 2005), etika berasal dari perkataan Greek iaitu ‘ethos’ yang bermaksud perangai, cara hidup atau adat resam. Definisi lain ialah, kajian sains berkenaan kelakuan manusia dalam masyarakat. Etika adalah sebahagian daripada bidang falsafah yang berkaitan dengan kehidupan yang baik, menjadi orang baik, melakukan perkara yang betul, dapat bergaul dengan orang lain dan memerlukan perkara yang betul dalam hidup. Etika juga adalah ilmu yang membincangkan berkenaan tingkah laku manusia yang dipandang daripada sudut baik dan buruk yang dapat ditentukan oleh akal manusia.
Etika adalah satu sistem atau falsafah tatakelakuan yang diamalkan oleh seseorang atau kumpulan. Ia juga boleh diertikan sebagai satu himpunan piawaian yang memerlukan sesuatu tindakan individu itu betul atau salah. Ringkasnya, etika adalah perilaku atau perlakuan yang diamalkan oleh seseorang individu berdasarkan kepada ukuran-ukuran yang telah ditentukan sama ada bertulis atau tidak. Dalam konteks yang lebih luas, etika mencerminkan nilai-nilai yang dianuti dalam sesebuah masyarakat. Suprihadi dan Suhartono mengatakan, “ilmu tentang tingkah laku manusia yang tidak sahaja mempertanyakan kenapa tindakan itu terjadi dan baik atau tidaknya tindakan itu, kenapa timbulnya tindakan itu bahkan bertanyakan latarbelakangnya, motivasi tindakan itu, kenapa timbulnya tindakan itu dan apa akibatnya secara lahir dan batin.” (Suprihadi dan Suhartono dlm. Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yonus@Ahmad, 1992)
Moral pula ialah tingkah laku atau amalan yang sejajar dengan tatasusila dan undang-undang masyarakat. Dalam konteks Malaysia, tatasusila merangkumi segala nilai murni seperti adil, baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat-menghormati, bekerjasama, rajin, sederhana, bersyukur, rasional dan semangat kemasyarakatan. Menurut Tam Yeo Kwai (2006), amalan atau tindakan bermoral dapat dilihat dari segi tindak balas individu pada situasi-situasi seperti di bawah:
- Pengawalan diri pada keinginan nafsu atau tingkah laku yang salah
- Kawalan atau keperluan fizikal yang berdasarkan peraturan-peraturan masyarakat yang diterima secara rasional
- Bertindak secara rasional pada keputusan moral yang melibatkan pentafsiran berkenaan tindakan yang dikatakan betul
- Sentiasa menjaga dan bertindak dalam keadaan yang berdisiplin serta menghayati standard kehidupan yang dicapai oleh sosio-ekonomi masyarakat.
Etika dan moral juga boleh dilihat dari perspektif Islam. Menurut Ibn Miskawayh, akhlak adalah keadaan jiwa yang menggerakkan manusia melakukan perbuatan tanpa pertimbangan fikiran (Ibn Miskawayh dlm. Nazirmuddin Ahmad et al , 1992)
. Menurut Imam Al-Ghazali pula, akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa yang membentuk perbuatan dengan mudah dan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu (Al Ghazali dlm. Nazirmuddin Ahmad et al , 1992).
. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’:17-84 yang bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhamamad), Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapa (di antara kamu) yang lebih betul jalannya.”
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan sebaik-baiknya berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan, sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti dalam dasar penerapan nilai-nilai Islam) menjadi faktor penghalang dalaman bagi menyalahgunakan kemahiran ataupun kekayaan yang dimiliki.
Sebagai kesimpulannya, bolehlah dirumuskan bahawa etika dan moral ialah peraturan dalam sesebuah masyarakat yang menerangkan sesuatu itu sama ada betul atau salah serta mampu menyediakan garis panduan perbezaan antara kebaikan dan keburukan mengenai perbuatan atau kecenderungan seseorang Akhlak pula ialah budi pekerti seseorang yang merujuk kepada kelakuan, watak dan gerak geri sama ada baik atau buruk.
Tulisan ini akan menggunakan teori-teori etika menurut pandangan Islam dan Barat dalam mengulas isu-isu dan persoalan yang dikemukakan dalam Filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad.
Persoalan Etika Dalam Filem Mukhsin
1. Percintaan Zaman Kanak-kanak
Percintaan zaman kanak-kanak menjadi subjek utama dalam filem ini. Mukhsin, remaja yang baru berusia dua belas tahun jatuh cinta pandang pertama kepada Orked yang berusia sepuluh tahun. Pertemuan pertama mereka adalah semasa Orked menggantikan seorang budak lelaki yang cedera semasa bermain galah panjang. Kata orang, cinta itu buta. Selepas peristiwa tersebut Mukhsin sering membawa Orked dengan basikalnya merayau-rayau sekitar kampung untuk mengisi masa cuti sekolah. Orked pula tanpa segan silu dan prasangka duduk di atas palang basikal yang dikayuh oleh Mukhsin. Mereka digambarkan begitu gembira dan bebas ke sana ke mari dan singgah di mana-mana sahaja yang mereka suka, seperti bangunan tinggalan sejarah, atas jambatan, duduk berdua di kawasan hutan, memanjat pokok dan lain-lain lagi.
Keadaan mereka berdua yang sentiasa bersama itu agak bertentangan dengan nilai etika dan moral masyarakat Timur, apa lagi jika dilihat dari sudut agama Islam. Islam turut menyebut di mana usia seawal satu hingga 12 tahun adalah usia untuk ibu bapa mendidik anak dengan akhlak terpuji bukan dengan membenarkan mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan terpencil. Dalam Islam, hubungan intim lelaki dan perempuan yang bukan muhrim boleh membawa kepada perlakuan yang lebih buruk hingga kepada perbuatan zina. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud:
“Jangan kamu menghampiri perzinaan kerana sesungguhnya zina adalah perbuatan yang kotor dan cara yang sangat tidak baik.” (al-Isra': 32)
Keintiman perhubungan dua kanak-kanak tersebut, walaupun masih terkawal dan dengan niat yang masih suci perlu halang bagi mengelakkan berlakunya keterlanjuran. Dalam filem ini, peluang mereka untuk melakukan perbuatan terlanjur memang ada. Keadaan ini jelas dilihat semasa Mukhsin memberanikan diri mengusap anak rambut Orkid semasa mereka berdua sedang duduk di atas pokok. Perbuatan Mukhsin tersebut datang dari rasa sayang yang mula hadir dalam dirinya dan tentunya dia mengharapkan tindak balas yang sama daripada Orked. Namun pengarang bersikap bijak dengan tidak meneruskan keterlanjuran tersebut dengan menggambarkan watak Orked sebagai gadis sunti yang belum mengerti tentang cinta dan keintiman. Kata Orked, “Jangan buat macam tu, Orked gelilah”. Kata-kata tersebut mematikan hasrat Mukhsin untuk meneruskan perbuatannya, ditambah dengan melihat wajah Orked yang begitu tulus semasa mengucapkan kata-kata tersebut.
Peranan orang dewasa yang diwakili oleh Pak Atan dan Mak Inom dalam menghalang dan menegur anak gadis mereka langsung tidak ada. Mereka bersikap berbaik sangka terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut malah merestui persahabatan tersebut kerana beranggapan hubungan tersebut hanya bersifat sementara dan tidak memudaratkan. Pertimbangan fikiran Pak Atan dan Mak Inom terhadap situasi tersebut mungkin berpunca daripada pendidikan Barat yang diterima menyebabkan mereka bersikap terbuka dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Pengaruh budaya barat dalam kehidupan keluarga Orked jelas terbukti apabila mereka sekeluarga bercakap bahasa Inggeris di rumah. Selain itu, adegan tiga beranak ini menari di dalam rumah mengikut rentak lagu Ne Me Quitte Pas (Don’t Leave Me) nyanyian Nina Simone jelas menggambarkan pengaruh cara hidup barat dalam keluarga tersebut.
Konsep moral menurut Tam Yeo Kwai (2006) ialah bertindak secara rasional pada keputusan moral yang melibatkan pentafsiran berkenaan tindakan yang dikatakan betul (Tam Yeo Kwai,2006). Dalam hal ini, perlakuan Mak Inom dan anaknya Orked yang menari di dalam hujan di halaman rumah mengikut rentak lagu keroncong ‘Hujan’ menggambarkan perlanggaran nilai etika yang diamalkan oleh masyarakat setempat secara kolektif. Ini kerana perbuatan tersebut dianggap tidak sopan dalam masyarakat Melayu yang mementingkan adab sopan.
Dalam Islam, cinta (al-mahabbah) dan persahabatan (al-sadaqah) merupakan dua elemen penting yang bukan sahaja dapat menghidupkan jalinan ikatan sosial antara sesama manusia, tetapi sekali gus menjadi elemen yang dapat menjamin kekuatan sesebuah keluarga, masyarakat, negara ataupun sesebuah tamadun. Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang mempunyai keinginan semulajadi untuk mencapai kemuliaan dan kesempurnaan. Cinta selalu disinonimkan dengan proses perjuangan manusia untuk memperoleh kesempurnaan tersebut. Jadi, perasaan cinta merupakana bahagian yang bersebati dengan diri manusia itu sendiri.
Cinta berahi (al-ishq/passionate love) pula merujuk kepada perasaan berahi yang terjadi khususnya antara seseorang dengan pasangannya, terutama antara lelaki dan wanita. Dalam konteks filem Mukhsin, perhubungan antara Orked dan Mukhsin lebih kepada keinginan manusia untuk menjalin perhubungan persahabatan atau cinta, boleh dilihat dalam empat fasa, iaitu pertemuan, persahabatan, pertelingkahan dan perpisahan. Fasa pertama bermula dengan pertemuan yang ditakdirkan. Kalau ibu bapa Orked tidak memujuknya supaya keluar bermain dengan kanak-kanak lain, sudah tentu pertemuan tersebut tidak berlaku. Fasa kedua ialah kegembiraan mereka mengharungi pelbagai aktiviti bersama seperti menunggang basikal, memanjat pokok, bermain layang-layang, menonton bola bersama keluarga Orked dan banyak lagi. Dua orang kanak-kanak ini menyenangi antara satu sama lain. Orked, apabila mendengar sahaja suara Mukhsin memanggilnya dari luar rumah, terus meluru keluar meninggalkan apa sahaja perkara yang sedang dibuatnya. Di pihak Mukhsin pula, menggambarkan keadaan yang lebih hebat dari segi perasaan dan tingkah lakunya. Hampir setiap hari Mukhsin datang ke rumah Orked untuk mengajaknya keluar. Palang basikalnya dibalut dengan kain supaya Orked dapat duduk lebih selesa. Pakaiannya dan rambutnya lebih kemasSuatu hari dia curi-curi memakai baju kemeja abangnya Hassan untuk pergi menonton perlawanan bola sepak dengan keluarga Orked. Dia ditegur oleh Mak Senah kerana bimbang dimarahi Hassan apabila memakai bajunya tanpa kebenaran.
Perubahan tingkah laku Mukhsin tersebut menunjukkan dia telah mempunyai suatu perasaan terhadap seorang perempuan. Sebagai seorang lelaki yang mula memasuki gerbang akil baligh, naluri untuk mencintai dan dicintai telah mula wujud dan ia sesuatu yang normal. Perasaan yang dialami tersebut sungguh indah kerana ia adalah pertama kali dalam hidup. Inilah subjek utama yang menjadi idea Yasmin Ahmad menghasilkan filem ini. Katanya, “setiap orang ada kisah cinta pertamanya sendiri.” Perasaan itulah yang cuba hendak dikongsi dengan para penonton.
Perasaan yang dipendam oleh Mukhsin terhadap Orked akhirnya menyebabkan wujudnya permasalahan antara mereka. Semasa bermain galah panjang seorang budak lelaki telah memeluk pinggang Orked menyebabkan mereka berdua jatuh berguling-guling. Melihat kejadian tersebut Mukhsin berasa cemburu lalu memarahi dan menghalau Orked sambil mengeluarkan kata-kata kesat yang melukakan hati Orked. Sejak itu, dia enggan menemui Mukhsin lagi walaupun Mukhsin datang ke rumah untuk memujuknya. Sehinggalah musim cuti sekolah hampir berakhir, bapa Mukhsin datang untuk menjemputnya pulang ke rumah. Akhirnya persahabatan antara dua insan awal remaja ini berakhir tanpa mereka sempat untuk mempertautnya kembali. Itulah sekelumit kisah yang menyentuh hati yang mungkin pernah dialami oleh kebanyakan kita semua.
2. Etika Kejiranan
Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu perbuatan yang dianggap melanggar tatasusila kadang kala boleh dipersoalkan dari segi kebenarannya. Dalam budaya masyarakat Melayu, terutamanya dalam kehidupan berjiran, perbuatan ‘menjaga tepi kain orang’ atau suka mengambil tahu hal orang lain dianggap sebagai satu penyakit sosial kerana banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat berbanding kebaikan. Dari sudut kebaikan, sikap mengambil tahu atau mengambil berat terhadap jiran adalah baik kerana wujudnya budaya tegur-menegur dalam masyarakat bagi meningkatkan kualiti nilai hidup. Tetapi sebaliknya, jika tujuan tersebut semata-mata untuk dijadikan bahan cerita sensasi bagi mengisi masa lapang, ia adalah perbuatan yang melanggar prinsip moral dan juga bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam, perbuatan mengumpat dianggap seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri. Begitulah gambaran hinanya perbuatan memburuk-burukkan orang lain di mata Islam.
Dalam filem ini, Yasmin Ahmad turut melontarkan kritikan kepada sesetengah golongan masyarakat yang suka mengkritik keburukan orang lain tetapi diri sendiri juga tidak sempurna. Perkara ini sering berlaku dalam kehidupan berjiran menyebabkan wujud keadaan tidak harmoni di kalangan jiran tetangga. Pak Man Koboi, jiran Pak Atan dan Mak Inom, seorang lelaki pertengahan usia mempunyai isteri yang sarat mengandung dan seorang anak perempuan bernama Ayu yang hampir sebaya dengan Orked. Isteri Pak Man, Rozie merupakan seorang suri rumah sering memerhatikan tingkah laku keluarga Pak Atan yang dianggap pelik itu. Apabila dia melihat sesuatu yang berlaku, misalnya peristiwa set sofa ditarik oleh pekerja kedai perabot, dia telah mengajar anaknya supaya menyindir Orked. Anaknya Ayu telah menjadi perantara dalam menyampaikan sindiran. tersebut. Perbuatan suka menjaga tepi kain ini telah diperturunkan kepada anaknya, Ayu. Jadi, filem ini telah mendedahkan bahawa orang dewasa tidak sepatutnya mendidik anak mereka agar mewarisi sikap buruk mereka. Jika diperhatikan perwatakan Ayu benar-benar mewarisi sikap suka menjaga tepi kain orang yang diamalkan di kalangan segelintir wanita Melayu terutamanya suri rumah.
Dalam filem ini, pengarahnya seolah-olah menghukum terus sikap buruk suka menjaga tepi kain orang tersebut dengan mewujudkan watak suami Rozie sebagai seorang yang curang. Pak Man Koboi seorang suami yang mempunyai kekasih lain seorang gadis keturunan India. Dia telah menipu gadis tersebut dengan mengatakan bahawa dia belum berkeluarga. Di rumah, dia telah bersikap dingin terhadap isterinya yang sedang sarat mengandung walaupun sang isteri tersebut seorang yang sangat patuh kepada suami dan berperanan menguruskan rumah tangga dengan sempurna.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Miller (1965), bangsa Melayu dikatakan antara kaum yang paling bersopan-santun dan lemah-lembut di dunia. Bangsa Melayu sanggup berkorban demi menjaga hati jiran, kawan atau sesiapa sahaja. Selain itu, masyarakat Melayu sangat menghormati tetamu, bertolak ansur, tidak suka bergaduh, sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, mudah bersimpati dan sebagainya. Dalam filem ini, banyak adegan yang mencerminkan ciri-ciri masyarakat Melayu asli yang masih bertahan. Ini dapat disaksikan sewaktu ibu bapa dan anak lelaki yang datang ke rumah Pak Atan dan Mak Inom, iaitu ibu bapa Orked untuk mengadu tentang Orked yang telah membuang beg anak mereka keluar daripada bas sekolah. Ibu bapa Orked telah melayan tetamu tersebut dengan baik dengan menghidangkan minuman, meminta Orked bersalaman dengan tetamu sambil mencium tangan, dan berbual dengan penuh sopan.
Hubungan kejiranan juga terserlah dalam filem ini apabila Kak Yam yang menjadi orang gaji keluarga Orked telah pergi ke rumah jiran untuk meminta asam keping bagi digunakan dalam masakan. Kedua-dua jiran tersebut sepat bergurau senda dan bergelak ketawa. Satu lagi contoh ialah adegan Kak Yam bertandang ke rumah Mak Senah, iaitu makcik Mukhsin untuk sama-sama membuat aiskerim. Peristiwa ini mencerminkan keharmonian hidup berjiran yang sekian lama diamalkan dalam masyarakat Melayu.
Kita juga diingatkan supaya melaksanakan tuntutan Islam dengan mengajak umatnya sentiasa menjaga hubungan yang baik dan murni sesama Islam dan juga dengan bukan Islam, yang berjiran dengan kita sama ada yang tinggal berdekatan atau berjauhan dengan kita. Tanggungjawab dan peranan jiran adalah untuk memupuk perpaduan, menjalin hubungan kasih sayang, mempercayai antara satu sama lain yang perlu diterapkan dengan jujur dan ikhlas oleh setiap individu Islam dan bukan Islam. Rasulullah mengatakan:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirananya”. (Abu Hurairah).
Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani bahawa tanggungjawab seseorang terhadap jirannya ada lapan perkara:
o Melawat apabila dia sakit.
o Mengiringi jenazah apabila dia meninggal dunia.
o Membantunya apabila dia memerlukan bantuan.
o Melindunginya pada masa dia dalam kesusahan dan kepapaan.
o Ucapkan tahniah apabila dia memperolehi nikmat.
o Ucapkan takziah apabila dia ditimpa kesusahan.
o Jangan meninggikan binaan rumah melebihi bangunan rumahnya sehingga menyekat udara kepadanya.
o Janganlah menyakitinya dengan bau enak masakan kecuali diberikan kepadanya.
3. Pengaruh Budaya Barat dalam Kehidupan
Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu sekarang lebih bersifat kosmopolitan, liberal dalam soal-soal agama, materialistik dan mengamalkan sikap hidup individualistik. Dalam hal ini, watak-watak insan Melayu dalam filem Mukhsin banyak menyimpang daripada adat resam dan telah mengalami proses pembaratan. Dalam hal ini, cara hidup keluarga Orked boleh dijadikan satu kajian yang menarik untuk melihat pengaruh pendidikan Barat di kalangan masyarakat Melayu. Ibu bapa Orked iaitu Pak Atan dan Mak Inom mendapat pendidikan Inggeris dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara barat. Pengaruh Barat dapat dilihat dalam kehidupan mereka, antaranya, banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan di rumah. Anak mereka Orked juga fasih berbahasa Inggeris. Amalan berbahasa Inggeris tersebut kadang kala amenimbulkan rasa tidak senang di kalaangan jiran. Ini dapat dilihat menerusi dialog yang dibualkan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang berjiran dengan mereka.
“Mak Orked selalu cakap orang putih. Mentang-mentanglah belajar kat England.”
Dialog di atas, walaupun dilafazkan oleh kanak-kanak, namun sudah tentu diajuk daripada percakapan ibu bapanya. Orked juga pernah mengeluarkan perkataan Inggeris yang bermaksud untuk menjawab sindiran kawan perempuan terhadap ibu bapanya ibu bapanya.
Selain itu, pengaruh kebudayaan Barat dalam mempamerkan kasih sayang suami isteri secara berlebih-lebihan juga ditunjukkan dengan jelas dalam filem ini menerusi perlakuan Pak Atan dan Mak Inom seperti suka berdampingan, bergurau senda secara intim, mandi bersama dan lain-lain lagi. Dalam satu adegan, Pak Atan mendukung Mak Inom semasa hendak masuk ke rumah sambil ketawa. Perlakuan tersebut diperhatikan oleh jiran mereka dengan pandangan yang jelek. Kelakuan tersebut, walaupun dilakukan oleh pasangan suami isteri ternyata tidak sesuai diamalkan dalam masyarakat kita malah bertentangan dengan nilai ketimuran yang mementingkan adab sopan. Namun sensitiviti tersebut langsung tidak dihiraukan oleh pasangan Pak Atan dan Mak Inom kerana pendidikan Barat yang diterima menjadikan mereka bersifat individualistik.
Menurut Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yunos@Ahmad(2005), Teori Egoisme yang dikemukakan oleh Barat menyarankan seseorang itu mesti bertindak atas kepentingan diri sendiri. meletakkan segala tingkah laku yang dilakukan akan memberi manfaat kepada diri sendiri tanpa memikirkan apakah orang lain sepatutnya mendapat manfaat daripada apa yang dilakukan. Ahli-ahli falsafah yang yang menganut fahaman ini seperti Epicurus, Ayn Rand, Jesse Kalin dan John Haspers berpendapat bahawa semua manusia sepatutnya mematuhi dan mempercayai teori ini untuk meletakkan kepentingan diri sebagai matlamat bagi semua tindakan yang dilakukan.
Matlamat meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan lain menyebabkan seseorang itu bebas bertindak mengikut apa yang dirasakan betul tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, keluarga Pak Atan mewakili teori Barat yang dikemukakan di atas. Keluarga ini kelihatan berbeza berbanding dengan keluarga-keluarga lain dalam masyarakat sekelilingnya menyebabkan mereka menjadi bahan percakapan masyarakat.
Kedatangan orientalis Barat bukan sekadar mencari kekayaan semata-mata, tetapi untuk menanam pengaruh sekularisme di kalangan masyarakat peribumi. Kemunculan sekolah-sekolah Inggeris pada awal abad ke-18 memberikan kesan yang besar serta mendalam terhadap masyarakat Melayu Islam di negara ini. Waktu masyarakat Islam amat kuat berpegang kepada ajaran Islam berasa bimbang dan curiga terhadap pertumbuhan sekolah-sekolah Inggeris yang diusahakan oleh pihak orientalis British. Mereka takut anak-anak mereka terjebak dengan usaha-usaha pihak orientalis British melalui sekolah-sekolah Inggeris yang diusahakan oleh mubaligh Kristian.
Pada tahun 1816, sekolah Penang Free School telah ditubuhkan. Dalam kurikulum sekolah tersebut tidak langsung ditekankan pendidikan agama tetapi sebaliknya menekankan kemahiran kehidupan seharian sahaja. Dalam buku Pendidikan di Malaysia karangan Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee (1988) secara jelas mengatakan bahawa pendidikan Inggeris bertujuan bagi pembentukan akhlak berdasarkan ajaran agama Kristian, seperti petikan berikut:
“Sekolah-sekolah mubaligh ini dibuka kepada kanak-kanak berbilang kaum serta dan tujuan menubuhkan sekolah itu ialah menyediakan pendidikan umum serta membaiki akhlak kanak-kanak berdasarkan ajaran Kristian”.
Ini merupakan suatu gejala yang membimbangkan masyarakat Melayu waktu itu kerana lahir anggapan ada usaha-usaha untuk mengkristiankan orang Melayu. Malah kelahiran sekolah-sekolah Inggeris ini merupakan suatu ancaman kepada pendidikan Islam yang sedang umbuh subur di Tanah Melayu waktu itu.
Kemunculan Malay College di Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1905, sebuah sekolah berasrama penuh, khususnya bagi anak-anak Melayu peringkat atasan atau elit yang bertujuan untuk melahirkan cendekiawan Melayu dalam usaha untuk melahirkan pegawai-pegawai tadbir Melayu telah sedikit sebanyak mengubah minda dan pemikiran Melayu agar berjiwa Inggeris. Kelahiran penuntut-penuntut Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris ini kemudiannya mencorakkan perjalanan sejarah pemikiran alam Melayu kepada satu bentuk baru yang terpisah dari alam pemikiran Melayu Islam. Lantaran itulah kita boleh melihat bagaimana berlakunya pertembungan dan percanggahan pemikiran dalam persoalan yang merangkumi urusan agama, pendidikan, sosial dan semasa.
Dasar pendidikan British di Tanah Melayu sebelum perang telah disifatkan sebagai ‘dualistik’ kerana mengkhaskan pendidikan Inggeris bagi golongan elit manakala pendidikan vernakular dianggap sesuai bagi orang ramai. Ia bertujuan mewujudkan jurang perbezaan dalam masyarakat Melayu agar memudahkan pihak penjajah meluaskan pengaruh serta pegangan mereka di Tanah Melayu. Pendidiakan Inggeris waktu itu berfungsi sebagai saluran melatih pekerja kolar putih yang perlu bagi pegawai rendah dan menengah dalam perkhidmatan awam serta alam perniagaan manakala pendidikan vernakular membantu membendung orang biasa dalam order masyarakat tradisi yang didapati begitu sesuai dengan kepentingan British.
Di sini bolehlah dikatakan bahawa sememangnya tujuan pihak British untuk mewujudkan juga perbezaan pemikiran antara masyarakat umum dengan golongan elit Melayu. Tujuan halus ini memudahkan pihak British membentuk golongan terpilih tersebut untuk dicorakkan mengikut kehendak mereka, manakala golongan rakyat biasa akan sentiasa bergantung kepada orang lain.
Usaha British secara halus untuk memisahkan masyarakat Melayu dengan kehidupan agamanya amat berjaya. Lantaran itu usaha penubuhan sekolah-sekolah aliran Inggeris dan diberikan secara percuma mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu. Fenomena ini beberapa tahun kemudian melahirkan golongan masyarakat Melayu yang berjiwa British atau membentuk masyarakat Melayu hidupnya sekadar menerima Islam sebagai suatu kepercayaan yang berkaitan dengan urusan akhirat semata-mata. Hasil daripada sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British maka budaya harian orang Melayu turut mengalami perubahan, namun perubahan tersebut berlaku secara eolusi. Lantaran itulah perubahan tersebut tidak mendapat tentangan orang Melayu. Bermula dengan cara berpakaian, bertudung, bergaul antara lelaki dan perempuan, kehidupan harian yang penuh adat resam mulai ditinggalkan secara beransur-ansur. Kesan pendidikan Barat ini juga berjaya melahirkan pemikiran bahawa agama hanya merupakan keperluan kepercayaan dan adat semata-mata. Malah agama Islam akhirnya menjadi sebuah agama ritual semata-mata. Fenomena inilah menyebabkan orang Melayu berasa jauh daripada Islam yang suatu masa dahulu merupakan panduan dan pegangan hidup. Fenomena ini akhirnya nanti menjadi suatu gelombang yang meminggirkan pemikiran dan amalan Islam dalam kehidupan masyarakat Melayu. Malah tahap kefahaman Islam di kalangan masyarakat Melayu menjadi longgar serta mereka bersifat selamba dengan agama itu sendiri. Senario ini nantinya menjadi suatu pemikiran yang terlalu asing dalam alam Melayu.
4. Kehidupan Suami Isteri
Namun begitu, dari sudut positif, cara hidup keluarga Pak Atan tersebut sebenarnya tidaklah keterlaluan dari sudut etika kerana keintiman suami isteri memang dituntut dalam mana-mana sistem nilai di dunia. Hubungan suami isteri antara Pak Atan dan Mak Inom begitu harmoni. Setiap masalah yang timbul diselesaikan dengan perbincangan. Perhatikan contoh-contoh di bawah untuk membuktikan bahawa pasangan suami isteri ini berjaya menyelesaikan sesuatu masalah dalam keluarga dengan bijaksana.
a. Pak Atan berjaya memujuk Orked supaya keluar bermain dengan kanak-kanak lain dengan cara berjanji akan membawa Orked menonton perlawanan bola sepak. Janji tersebut ditunaikan oleh sang bapa.
b. Semasa Orked dilanda kesedihan akibat kata-kata kesat Mukhsin kepadanya, Pak Atan sekali lagi memujuk anaknya dengan kaedah yang sama. Beliau menggunakan kata-kata yang lembut menyebabkan Orked menangis sambil memeluk bapanya.
c. Peristiwa set sofa ditarik oleh pembekal kerana tidak membayar ansuran selama tiga bulan. Pak Atan telah menjelaskan perkara tersebut dengana memberikan alasan yang boleh diterima. Walaupun jawapan tersebut tidak begitu memuaskan hati Mak Inom tetapi beliau tidak melenting dan mengikut perasaan tetapi telah mengeluarkan dialog yang tepat, iaitu: “I lebih suka baring atas lantai saja daripada berhutang.” Kata-kata Mak Inom tersebut menggambarkan beliau tetap tidak bersetuju dengan cara Pak Atan menyelesaikan masalah bertukar-tukar set sofa dalam masa tiga bulan.
Dalam satu peristiwa, semasa hendak keluar ke tempat kerja, Pak Man Koboi hanya bersalaman dengan isterinya dengan separuh hati sahaja. Isterinya Rozie selama ini hanya memendam perasaan sahaja tanpa menunjukkan reaksi memberontak walaupun suaminya bersikap dingin terhadapnya. Terdapat satu dialog yang menarik untuk menggambarkan seorang isteri yang kesepian. Semasa Pak Man Koboi asyik menggilap skuter Vespanya, isterinya berkata, “Seronoknya jadi motor, hari-hari kena gosok.” Kemuncak kepada hubungan suami isteri tersebut ialah apabila Pak Man Koboi berterus terang kepada isterinya untuk berkahwin satu lagi dengan alasan sudah berjanji dengan ibu bapa gadis tersebut. Dalam hal ini, sang suami langsung tidak bersimpati dengan isterinya yang merayu sambil menangis teresak-esak ditambahan pula keadaan isterinya yang sedang sarat mengandung.
Yasmin Ahmad ingin mendedahkan kepada penonton akan realiti yang berlaku dalam rumah tangga orang Melayu yang bertepatan dengan peribahasa, air yang tenang jangan disangka tiada buaya, yang bermaksud keadaan rumah tangga yang dari luar kelihatan tenang, rupa-rupanya wujud pergolakan. Situasi sedemikian boleh membawa kepada keadaan yang lebih buruk seperti perceraian atau kecurangan dalam rumah tangga, sama ada di pihak suami atau isteri yang banyak berlaku sekarang. Tempoh kesabaran seseorang ada batasnya. Kita tidak perlu terkejut jika Rozie berubah sikapnya menjadi seorang isteri yang tidak lagi taat kepada suami serta yang lebih membimbangkan ialah sekiranya beliau berhasrat ingin membalas dendam atas penganiayaan yang dilakukan oleh suami terhadapnya.
Dari perspektif agama, perbuatan Pak Man Koboi terhadap isterinya boleh dikategorikan sebagai penderaan mental. Dalam hal ini, hadis Rasulullah yang berbunyi, “orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isteriku” adalah contoh terbaik untuk diikuti. Dari perspektif budaya dan norma masyarakat, sebagai masyarakat timur, kita dididik supaya berkasih sayang antara sesama anggota keluarga. Kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga adalah kunci untuk mencapai kejayaan. Rumah merupakan syurga permulaan untuk membentuk kedamaian mental. Ini memerlukan setiap pasangan untuk saling menghormati, bertanggungjawab dan menyayangi antara sesama ahli keluarga.
Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat uami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannyayang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akanditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selaindari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut. Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :
o Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
o Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.
o Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.
o Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.
5. Keruntuhan Moral Remaja
Dalam filem Mukhsin ada banyak adegan yang memaparkan tentang kepincangan hidup masyarakat terutamanya golongan muda seperti minum arak, berpeleseran di kelab malam dan melanggani pelacur. Semua peristiwa yang melibatkan aktiviti tersebut diwakili oleh watak Hussin. Hussin, dan adiknya Mukhsin, tinggal bersama dengan Mak Senah, makcik mereka kerana ibu bapa mereka menghadapi masalah perpecahan rumah tangga. Hussin, pemuda berusia awal 20an, menghabiskan masa waktu malam dengan alkohol di kelab malam dan sesekali melanggani pelacur di rumah pelacuran. Dia pulang ke rumah Mak Senah waktu dinihari dalam keadaan mabuk dan muntah. Pada suatu dinihari, dia pulang seperti biasa dalam kemabukan, menyampaikan berita ibunya mati kerana membunuh diri. Kedua-dua beradik iaitu Hussin dan Mukhsin berpelukan buat pertama kali kerana menangisi berita tersebut walaupun dalam cerita ini kedua-duanya digambarkan seperti anjing dengan kucing, sentiasa bergaduh.
Dalam membicarakan hal kepincangan hidup masyarakat Melayu Islam, eloklah sekiranya kita mengaitkan perbincangan dengan teori akhlak dari perspektif Islam. Dalam Islam, aqidah, syariah dan akhlak adalah merupakan tiga asas penting yang tidak dapat dipisahkan dan menjadi panduan hidup umat. Aqidah ialah keimanan kepada Tuhan, kepercayaan ini dimanifestasikan melalui syariah dan ibadah. Aqidah yang bersih pasti akan melahirkan akhlak yang bersih dan mulia, manakala aqidah yang kacau akan melahirkan akhlak yang buruk lagi hina.
Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang terkenal telah menjelaskan tentang tujuan kedatangannya ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak atau moral yang baik. Akhlak merupakan amalan yang paling berat yang dinilai dalam neraca setiap hambanya pada hari kiamat. Rasulullah menegaskan:
“Tidak ada satu pun yang akan lebih memberatkan timbangan (kebaikan) seorang hamba mukmin nanti pada hari kiamat selain dari akhlak yang baik...”. (Riwayat Tirmidzi).
Dalam Ensiklopedia Hukum Islam (hlmn. 73), perkataan akhlak adalah jamak dari al-kluluk yang bermakna kebiasaan, perangai, tabiat dan agama. Tingkah laku yang lahir daripada manusia dengan sengaja, tidak dibuat-buat dan telah menjadi kebiasaan. Etika terhadap diri memerlukan seseorang itu memelihara dirinya dengan baik, sama ada jasmani atau rohani. Ini termasuklah penjagaan kesihatan tubuh badan, kebersihan jiwa dan kemurnian fikiran. Dalam Islam diwajibkan penganutnya menuntut ilmu pengetahuan sebanyak mungkin tanpa dibatasi oleh masa, tempat atau bangsa. Seterusnya Islam melarang penganutnya untuk makan dan minum sesuatu yang dilarang atau memberikan kesan negatif seperti meminum minuman yang memabukkan kerana ia boleh menghilangkan sifat-sifat kemanusiaan. Perbuatan Hussin minum arak dan melanggani pelacur jelas bertentangan dengan peraturan akhlak yang dituntut oleh Islam.
Islam tidak menghalang kebebasan, tetapi setiap kebebasan mesti ada batas-batasnya. Sumbangan Islam yang penting dalam lapangan falsafah sosial adalah berhubung dengan konsep manusia mempunyai kebebasan. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang mempunyai kebebasan mutlak; manusia juga mempunyai kebebasan tetapi dalam bentuk yang nisbi (relatif). Ini bukan bererti bahawa manusia menurut perspektif Islam tidak perlu berusaha kerana segala-galanya telah ditentukan oleh Allah. Hakikatnya manusia telah diberikan kuasa dan kebebasan untuk memilih (free will) sama ada kebaikan atau keburukan.
Kebebasan memilih bermakna individu Muslim diberi kuasa untuk memilih antara dua alternatif, baik atau buruk, betul atau salah, mutlak atau nisbi. Di dunia Barat, Islam sering ditohmah sebagai agama fatalistik (agama yang berpegang bahawa segala seuatu ditentukan oleh takdir)., manakala kebebasan dan daya usaha manusia tidak memberi apa-apa sumbangan. Anggapan ini sebenarnya tidak berasas. Adakah boleh diterima akal agama yang dikatakan fatalistik seperti Islam itu dapat menundukkan separuh daripada dunia dalam masa kurang lebih 70 tahun sahaja. Oleh itu, Islam amat layak dinobatkan sebagai agama yang mempunyai ketamadunan yang energetic, progresif dan mampu merempuh setiap perubahan masa dan peristiwa.
Konsep kebebasan juga memberi skop yang sangat luas. Umpamanya manusia bebas untuk menentukan corak hidup, bebas untuk berfikir, bersuara dan bertindak, bebas dan berhak untuk mendapatkan pelajaran yang diperlukan, bebas untuk mempertahankan diri, harta dan menjaga maruah, bebas untuk mencari dan memiliki harta sebanyak yanag terdaya secara halal dan sebagainya. Dan kebebasan yang paling istimewa dihadiahkan oleh Islam adalah kebebasan untuk memilih agama yang disukai oleh seseorang. Maksud Al-Quran, “Tidak ada paksaan dalam beragama, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (2:256).
Apa yang perlu diperhatikan, kebebasan yang diberikan oleh Islam bukanlah bererti individu Muslim bebas melakukan keburukan demi keburukan dalam liku-liku perjalanan mereka menerokai kebenaran. Nilai-nilai kebaikan dan keburukan telahpun dijelaskan oleh Allah melalui wahyu-Nya. Perbuatan zina, minum arak, berbohong, dengki, khianat, angkuh, dendam, umpat dan fitnah telah jelas keburukannya dan tidak perlu lagi dicuba sebagai pengalaman.
Jika kebebasan yang diamalkan oleh seseorang individu atau sekumpulan individu menggugat ketenteraman awam, maka ulama’ bersepakat bahawa amalan tersebut perlu disekat dan dibendung. Oleh itu, batas kebebasan individu dalam perspektif akhlak Islam adalah selagi mana kebebasan tersebut tidak mencabul hak orang lain.
Ibn Miskawayh (1966) berpendapat bahawa seseorang itu berpotensi untuk merubah akhlak ataupun situasi yang berada dalam jiwa mereka. Jika akhlak seseorang tidak dapat dibentuk dan diperbaiki, maka syariah, kenabian, latihan, pendidikan, disiplin, nasihat, sekolah, universiti, undang-undang, kerajaan dan sebagainya sudah tentu akan menjadi tidak perlu dan tidak berguna lagi. Walau bagaimanapun, tambah beliau lagi, tahap pencapaian manusia dalam menerima pendidikan dan perubahan adalah berbeza. Sesetengah manusia bersikap responsif terhadap pendidikan dan perubahan menjadi baik dalam jangka masa yang singkat, sesetengah yang lain pula agak sukar dibentuk dan kekal dalam keadaan asalnya, manakala kebanyakan manusia berada di peringkat pertengahan: memiliki akhlak-akhlak yang baik dan buruk sekaligus. Tetapi jika manusia dibiarkan dalam keadaan asalnya tanpa diberi apa-apa latihan dan pendidikan, sudah tentu dia akan membesar mengikut tabiat semula jadi dan kekal berkelakuan seperti zaman kanak-kanak, seperti tamak, cemburu, pentingkan diri sendiri, suka merajuk dan lain-lain susila yang tidak baik.
Bagi Imam al-Ghazali (1976), tujuan pendidikan akhlak dalam Islam adalah untuk mengawal hal-hal kejiwaan seseorang supaya berada pada tahap sederhana. Tahap ini akan tercapai apabila nafsu (kekuatan marah dan kekuatan syahawat) tunduk akur kepada kekuatan akal dan syariah. matlamat pendidikan akhlak dalam Islam juga bukan untuk menghapuskan kekuatan-kekuatan semulajadi tersebut, sebagaimana dikatakan berlaku dalam sesetengah agama seperti Hindu dan Kristian, tetapi untuk mendidik dan mengawal nafsu. Nafsu seks contohnya, sangat diperlukan oleh manusia demi penerusan zuriat mereka di dunia. Justeru itulah, ia dibekalkan oleh Allah secara tabii. Manusia disaran supaya mendidik, mengawal serta memenuhi tuntutan nafsu seks tersebut tetapi mestilah mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam seperti melalui perkahwinan dan pembentukan institusi keluarga.
6. Etika Dalam Kehidupan
Perbuatan Orked mencampakkan beg seorang budak sekolah daripada bas sekolah adalah dengan niat untuk membalas perbuatan budak itu yang telah membuli seorang budak lain. Walaupun mempunyai niat yang baik, tetapi perbuatan tersebut tetap dianggap tidak beretika kerana boleh mengundang masalah yang berterusan apabila pemilik beg itu menyimpan dendam dan berniat untuk membalasnya kerana tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan oleh Orked tersebut. Mukhsin yang ingin meleraikan pergaduhan tersebut telah dipukul kepalanya dengan kayu. Ibu pemilik beg juga tidak puas hati dengan tindakan Orked. Mereka sekeluarga pergi ke rumah Orked untuk membuat aduan. Ibu bapa Orked bijak menyelesaikan perkara tersebut dengan pura-pura merotan anaknya di dalam bilik semasa tetamu tersebut masih ada.
Daripada peristiwa tersebut kita dapati bahawa sesuatu pertelingkahan yang berlaku boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat jika tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, etika hidup bermasyarakat perlu dijaga supaya sesuatu tindak-tanduk itu hendaklah berasaskan akal fikiran dan pertimbangan yang rasional.
Tokoh falsafah moral Islam terbilang, Ibnu Miskawayh(1966) menekankan bahawa institusi keluarga, terutama ibu bapa, dalam menjana akhlak yang mulia di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa dan keluarga bertanggungjawab untuk melatih anak-anak mereka mengamalkan ajaran syariah Islam seperti mengajar mereka menghormati kemuliaan, mencintai kebaikan, berpihak kepada kebenaran, serta mengawal mereka daripada bergaul dengan kawan-kawan yang tidak bermoral. Membudayakan kanak-kanak dengan akhlak yang mulia, menurut Ibnu Miskawayh lagi, merupakan tugas pendidikan yang sangat penting kerana ia dapat melatih mereka mencintai kebaikan dan sekaligus membesar bersama kemuliaan tersebut. Latihan berakhlak mulia juga membolehkan kanak-kanak mengawal diri mereka daripada kejahatan serta menyenangkan mereka melaksanakan suruhan agama dan mematuhi peraturan dan undang-undang setelah mereka dewasa.
Kesimpulan
Persoalan etika dan moral dalam masyarakat hari ini adalah perkara yang perlu dititikberatkan kerana nilai-nilai tersebut banyak dipengaruhi oleh budaya negatif yang mengenepikan nilai-nilai agama dan tradisi seperti mementingkan kebendaan dan budaya hedonistik. Filem Mukhsin dipilih sebagai subjek utama dalam membincangkan tentang persoalan moral dan etika masyarakat. Antara persoalan yang dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah isu percintaan kanak-kanak, kehidupan berjiran, pengaruh Barat, perhubungan suami isteri dan keruntuhan moral anak-anak muda.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam usia awal akil baligh perlu dikawal oleh golongan dewasa bagi mengelakkan berlakunya ketelanjuran. Memang tidak dapat dinafikan bahawa perasaan cinta adalah anugerah Tuhan kepada hambanya, namun ia hendaklah dikendalikan dengan baik dan dikawal menerusi pendidikan agama. Ibu bapa hendaklah mengawasi aktiviti anak-anak mereka bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Ini kerana dalam era teknologi maklumat hari ini remaja belasan tahun mudah terdedah kepada unsur-unsur negatif seperti gambar dan video lucah menerusi talian internet dan telefon mudah alih.
Langkah yang terbaik bagi membendung gejala negatif dalam masyarakat adalah melalui pendidikan. Agama Islam mempunyai ajaran yang lengkap dalam membentuk akhlak manusia kearah kebaikan di dunia dan di akhirat.

Monday, November 9, 2009

"Satu Malaysia" dan Hakikat Bahasa Kebangsaan

Pendahuluan
Sudah menjadi kelaziman bahawa setiap orang Perdana Menteri yang menaiki puncak kekuasaan akan mengeluarkan satu gagasan yang baru untuk dijadikan panduan atau hala tuju kepada rakyat. Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan ‘Wawasan 2020’, Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi dengan slogan ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ dan ‘Islam Hadhari’, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 pula telah mewujudkan gagasan ‘Satu Malaysia’ sebaik-baik sahaja beliau memegang teraju kepimpinan negara. Dalam ucapannya beliau menyebut:

“Konsep ‘Satu Malaysia’ perlu dibina berasaskan kerangka Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak kuasa Persekutuan dan kuasa negeri, memelihara kedaulatan Raja-raja Melayu, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara, keistimewaan hak orang Melayu terpelihara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan.”

Sejak Perdana Menteri mengemukakan gagasan ‘Satu Malaysia’, banyak pentafsiran dan ulasan tentangnya telah dibuat. Antaranya, semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersama. Sekiranya setiap rakyat Malaysia menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dari pelbagai tradisi, maka gagasan “Satu Malaysia” untuk menyatukan rakyat negara ini perlu mengambil kira pengertian perpaduan dalam konsepnya yang sebenar.

Dato’ Seri Najib, seperti yang dilaporkan oleh media, sengaja tidak memberikan penjelasan secara terperinci tentang gagasan tersebut dengan tujuan untuk menyuburkan perbincangan awam dalam kalangan rakyat. Beliau sebenarnya berhasrat untuk memberikan ruang kepada rakyat agar mengemukakan pandangan masing-masing.

Apabila berbicara tentang gagasan “Satu Malaysia”, intipatinya tentu sekali berhubung kait dengan perpaduan, keharmonian dan perkongsian hidup seluruh rakyat Malaysia. Perpaduan antara pelbagai suku kaum dan bangsa di Malaysia menjadi teras keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara. Setiap warga Malaysia perlu menanamkan rasa cinta dan kasih terhadap negara ini, di samping bersedia berkongsi nikmat serta kejayaan yang telah dan bakal ditempa. Hal ini dikatakan demikian kerana di bumi inilah segala yang pahit, manis, suka dan duka dikongsi bersama.

Berbicara tentang gagasan “Satu Malaysia”, kita juga mesti memperkatakan satu lagi frasa yang relevan dengan gagasan tersebut, iaitu “Satu Bahasa”. Dalam kepelbagaian suku bangsa, budaya dan agama yang terdapat di Malaysia, bahasa merupakan satu-satunya wadah penyatu yang dapat merapatkan kepelbagaian dan segala perbezaan yang wujud. Bahasa dalam konteks perbincangan ini sudah tentulah bahasa rasmi negara, iaitu bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Kedudukan Bahasa Melayu
Seperti yang sentiasa diulang-ulang, peranan dan keupayaan bahasa Melayu merentas dan memenuhi cabaran zaman memang tidak boleh dipertikaikan. Keupayaaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, bahasa penyatu, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah terbukti sejak kemerdekaan Malaysia tahun 1957. Bahasa Melayu sering kali diuji oleh pelbagai pihak, yang akhirnya menuntut perjuangan daripada setiap pencinta untuk berganding bahu bagi mempertahankannya. Maka tidak syak lagi bahawa gagasan “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri mestilah menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada teras utamanya. Gagasan “Satu Malaysia” yang menghasratkan interaksi yang baik dan berkesan dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak boleh tidak meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara kaum di Malaysia dan bahasa komunikasi antara rakyat Malaysia dengan rakyat dari luar negara yang tinggal di Malaysia.

Bahasa Melayu juga terbukti berjaya menjadi alat penyatuan setiap kaum, bangsa dan wilayah di Malaysia. Komponen penyatuan ini amat penting dalam gagasan “Satu Malaysia”. Gagasan tersebut hanya dapat dicapai dan menjadi kenyataan jika seluruh warga Malaysia berjaya disatukan menerusi satu wadah yang boleh diterima oleh semua kaum. Perjalanan untuk mencapai hasrat seperti yang diinginkan oleh gagasan “Satu Malaysia” menjadi mudah dan kurang berliku kerana peranan besar yang berupaya dimainkan oleh bahasa Melayu.

Salah satu usaha asas dan dasar yang mesti dilakukan untuk merealisasikan gagasan “Satu Malaysia” adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Malaysia. Hakikatnya, selepas 52 tahun negara merdeka, dan pelbagai program telah dilaksanakan untuk membangunkan negara, rakyat Malaysia masih belum menerima bahasa Melayu sebagai bahasa dalam sistem pendidikan dan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam menyampaikan maklumat dan ilmu, yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Sewajarnya semua rakyat Malaysia pada semua peringkat menggunakan dan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam semua upacara rasmi negara. Hal ini demikian kerana dengan berbuat demikian mereka merealisasikan hasrat yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Semangat dan hasrat yang termaktub dalam Perkara 152 adalah untuk menyatukan warga negara Malaysia sebagaimana yang dihasratkan dalam gagasan “Satu Malaysia”. Malah, bahasa Melayu telah terbukti sebagai alat penyatuan dan pembinaan budaya bangsa umat di rantau ini dan menjadi ‘lingua franca’ sejak berkurun lamanya di rantau ini, walaupun rantau ini dihuni oleh umat yang pelbagai kaum, agama dan budaya. Mereka bersatu dalam pelbagai budaya dan fahaman agama dengan menggunakan bahasa yang sama, yakni bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sesama mereka. Sepatutnya bahasa Melayu tidak dipertikaikan kedudukan dan peranannya, malah usaha perlu dimantapkan untuk memperkukuh bahasa tersebut dalam arus globalisasi dan ledakan sains dan teknologi demi membangunkan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama. Dalam usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang mampu berfikir dan bertindak dalam satu nada dan matlamat tersebut, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diabaikan.

Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan
Keputusan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik disambut baik oleh golongan yang sekian lama memperjuangkannya. Oleh hal yang demikian, kedudukan bahasa Melayu diletakkan kembali pada tempatnya yang hak. Keputusan kerajaan tersebut juga bermakna bahawa semua mata pelajaran , kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris akan diajar menggunakan bahasa Melayu. Dasar terbaru ini akan memperkukuhkan dan memantapkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Dengan keputusan kerajaan itu juga, bahasa Melayu berpotensi untuk terus berkembang sebagai bahasa ilmu terbuka luas, asalkan semua pihak mengambil langkah yang konkrit untuk merealisasikannya. Bahasa Melayu terbukti mempunyai peluang untuk diangkat dan dijadikan bahasa ilmu dan bahasa kemajuan negara. Adalah tidak adil jiga sesetengah pihak yang beranggapan bahawa bahasa Inggeris sahaja yang mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan negara.

Dengan langkah yang konkrit, termasuk memastikan bahawa bahasa Melayu kembali menjadi bahasa pengantar di universiti, dalam pengajaran dan pembelajaran kursus tertentu di peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, hinggalah ke peringkat PhD. Penulisan tesis dan ilmu dalam bahasa Melayu akan mengangkat status bahasa tersebut. Kita juga mengharapkan lebih banyak ilmuwan, pakar dan profesional dalam pelbagai bidang yang menguasai ilmu dalam bahasa Melayu akan dilahirkan. Golongan ini mampu menguasai dan berupaya mengungkapkan bahasa Melayu secara lisan dan tulisan. Perkara ini sebenarnya sudahpun terbukti hampir 30 tahun yang lalu. Malah, mereka yang terdidik dalam bahasa Melayu masih mampu melanjutkan pelajaran ke luar negara hingga ada yang meraih keputusan yang cemerlang. Ada yang menjadi pakar dan profesional dalam bidang masing-masing. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, pelajar dan ilmuwan di negara ini mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan pelajar dan ilmuwan dari negara lain.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi
Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan juga tidak terlepas daripada peranan untuk mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan di bawah gagasan ”Satu Malaysia”. Visi kementerian ini adalah untuk menjadi peneraju utama gagasan ”Satu Malaysia” yang berteraskan Rukun Negara bagi mewujudkan sebuah negara bangsa melalui wadah penerangan, komunikasi dan kebudayaan. Misi kementerian ini pula antaranya, termasuklah meningkatkan dan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara melalui khidmat dan aktiviti penerangan, komunikasi dan kebudayaan; membangunkan, menyemarakkan dan merakyatkan seni budaya dan warisan menerusi penerangan dan komunikasi; membangunkan dan memperkasa industri komunikasi negara, dan menjana ekonomi negara melalui industri kreatif.

Dari aspek penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang diterajui oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dapat memartabatkan penggunaan bahasa, khususnya bahasa kebangsaan dalam media cetak dan media elektronik yang dari dahulu hingga kini masalah pencemaran bahasa tidak pernah selesai. Masalah pencemaran bahasa termasuklah penggunaan bahasa yang kacau seperti bahasa rojak, bahasa yang tidak baik, betul dan tepat dari aspek hukum bahasa. Begitu juga dengan kandungan maklumat dalam media cetak dan media elektronik pada hari ini yang sarat dengan unsur hedonisme.

Dr. Rais Yatim telah bertindak dan mengambil beberapa langkah proaktif dan berani untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara ini melalui media elektronik kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM). Antara langkah yang telah diambil ialah:
1. Mengarahkan semua kandungan atau program yang disiarkan oleh RTM di TV 1 dan TV 2 mesti menggunakan bahasa Melayu dengan baik, tepat dan betul. Dalam hal ini, Dr. Rais menegaskan, ”Kalau program itu dalam bahasa Melayu, gunakan bahasa Melayu dengan betul. Namun, jika perlu menggunakan bahasa Inggeris, gunakanlah bahasa Inggeris dengan sempurna. Saya tidak suka ada program yang menggunakan bahasa campur-aduk, walau sepatahpun.”
Selain itu, Dr. Rais juga menitikberatkan soal penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap rancangan televisyen yang akan dibekalkan kepada TV1 dan TV2. Beliau akan memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam kedua-dua siaran akan membantu mengangkat martabat bahasa kebangsaan serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
2. Semua penyampai radio RTM juga diwajibkan menggunakan bahasa Melayu dengan baik, tepat dan betul.
3. Penerbit-penerbit TV juga diarahkan agar menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan tepat, (tidak menggunakan bahasa rojak) dalam skrip drama.

Datuk Seri Dr. Rais ialah seorang yang amat mencintai bahasa Melayu. Hal ini terbukti melalui ucapan beliau sama ada di media elektronik ataupun di khalayak ramai yang menggunakan bahasa Melayu yang bermutu tinggi, walaupun beliau juga mempunyai latarbelakang pendidikan bahasa Inggeris. Oleh hal demikian, pemilihan beliau untuk menerajui Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan adalah langkah yang tepat memandangkan bidang penyiaran, komunikasi, kesenian dan kebudayaan mempunyai hubungkait antara satu sama lain.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan
Tidak dinafikan bahawa peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan penyatuan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara kita ada kejayaaannya. Setiap kaum sudah tentu mahu mempertahankan agama, budaya dan tradisi masing-masing. Bahasalah alat yang paling berkesan untun merealisasikan proses penyatuan tersebut. Bahasa Melayu telah diterima dengan baik oleh setiap orang sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Proses penyatuan menjadi mudah dan cepat apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

Anak-anak muda Malaysia semenjak di bangku sekolah telah diajar dan didedahkan dengan mata pelajaran bahasa Melayu. Perjalanan untuk mencapai hasrat seperti yang diinginkan oleh gagasan ”Satu Malaysia” menjadi mudah dan kurang berliku kerana peranan besar yang berupaya dimainkan oleh bahasa Melayu. Bahasa Melayu terbukti berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia di bawah satu bumbung, iaitu bumbung pendidikan. Sistem pendidikan negara kita telah memupuk rasa cinta seluruh negara terhadap bahasa Melayu.

Namun begitu, sepanjang tempoh 52 tahun, bahasa Melayu terpaksa menempuh pelbagai halangan dan ujian yang cukup getir bagi menjadi sebuah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Fungsi bahasa Melayu sebagai lambang jati diri negara tergugat dengan pelbagai halangan terutamanya masalah sikap masyarakat negara ini yang sering memandang rendah terhadap kemampuan bahasa Melayu. Dalam situasi negara Malaysia yang berbilang kaum, bahasa Melayu seharusnya berfungsi sebagai lambang kebanggaan nasional yang mencerminkan nilai sosiobudaya masyarakatnya. Melalui penerapan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan dalam diri setiap individu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa Melayu, selain berfungsi sebagai bahasa pemersatu, juga seharusnya berfungsi sebagai lambang jati diri nasional yang dapat mengekang kemasukan unsur asing, terutamanya ketika gelombang globalisasi dan ledakan teknologi maklumat melanda dunia termasuk negara kita.

Oleh itu budaya berbahasa perlu dalam kehidupan rakyat yang berbilang bangsa ini melalui bahasa yang satu. Penerapan nilai-nilai murni melalui pembudayaan bahasa dalam diri rakyat Malaysia bukana sahaja dapat melahirkan masyarakat yang berperibadi unggul dan mempunyai nilai-nilai moral yang terpuji, tetapi secara tidak langsung juga dapat membangkitkan semangat kebangsaan yang tinggi, rasa megah serta cinta akan bangsa, bahasa dan negara. Kesedaran untuk memiliki bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu, dan rasa cinta akan bahasa yang satu itu perlu sentiasa disuburkan dalam jiwa rakyat Malaysia kerana bahasa ialah jiwa sesebuah bangsa tanpa mempunyai prasangka terhadap bangsa yang memiliki bahasa tersebut. Sekiranya bahasa tersebut mati, maka maruah dan nilai bangsa tersebut juga akan musnah seperti yang terjadi kepada bangsa Hawaii yang kehilangan bahasanya sendiri. Walau bagaaiamanapun, hal ini sudah tentu tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan setiap individu yang mengaku sebagai rakyat Malaysia. Sesebuah negara akan menjadi kuat kerana bangsanya, dan sesebuah bangsa akan menjadi kuat kerana bahasanya. Buktinya, bangsa Jepun dan China menjadi gergasi ekonomi yang kuat dan maju tanpa mengetepikan budaya dan bahasa sendiri.

Sungguhpun kita sudah berusaha sedaya upaya, selepas lebih daripada 52 tahun menganjurkan kempen dan gerakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, matlamat kita belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Kepincangan fungsi bahasa Melayu itu berpunca daripada persaingannya dengan bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa yang penting bagi kemajuan negara bangsa Malaysia dalam dunia globalisasi moden kini.

Faktor sikap rakyat, krisis jati diri, latarbelakang pendidikan dwialiran dan matlamat komuniti bahasa yang berbeza-beza juga turut menyumbang kepada upaya memperkasakan bahasa kebangsaan. Faktor penyebab ini menjadi bertambah kompleks apabila dilihat dari sudut politik, ekonomi, kesejahteraan, keselamatan dan keadilan dalam masyarakat, serta kedudukan dan peranan Malaysia dalam dunia globalisasi dan komunikasi moden.

Oleh sebab itu, perancangan dan pelaksanaan kempen atau gerakan bahasa kebangsaan memerlukan transformasi dengan strategi alternatif. Untuk itu, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hendaklah ditangani dengan konteks terkini, iaitu falsafah pembangunan negara dan pengurusan kerajaan yang memperkenalkan gagasan “Satu Malaysia” untuk memperteguh atau memperkasakan perpaduan nasional, iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”, dalam negara bangsa Malaysia.
Maka matlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu hendaklah disesuaikan atau diadunkan dengan fungsi untuk memperteguh dan memperkasakan perpaduan nasional itu. Dalam “Satu Malaysia”, kerajaan kita sedang melaksanakan pelbagai usaha ke arah merealisasikan hasrat perpaduan nasional melalui transformasi dan reformasi dalam semua perkara, termasuklah dalam penentuan hala tuju dan sasaran, perancangan program, pembangunan dan penggunaan sumber, serta strategi dan pendekatan pelaksanaan, dengan berpegang kepada prinsip “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

Penutup
Bagi menjayakan gagasan ”Satu Malaysia”, ilmu merupakan satu keperluan yang tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Hanya warga yang berilmu dalam pelbagai bidang sahaja yang mampu menterjemahkan sebuah gagasan menjadi kenyataan. Hakikatnya, penguasaan dalam segala disiplin ilmu lebih mudah diperoleh menerusi bahasa ibunda masing-masing. Hal ini bermakna peranan bahasa Melayu sangat penting untuk menjayakan gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita.

”Satu Malaysia” dan ”Satu Bahasa” mempunyai perkaitan yang sangat erat dan tidak boleh dipisahkan. Bahasa merupakan sebahagian daripada wadah yang mampu mencorakkan sesebuah negara pada masa depan. Bangsa yang hebat dalam mana-mana tamadun dan peradaban tidak pernah meminggirkan bahasa sebagai wadah terpenting yang mampu melahirkan manusia yang berakal budi dan berbudi pekerti tinggi.